GWM sasar jual 10,000 MPV mewah setahun

GWM sasar jual 10,000 MPV mewah setahun

ROSLAN Abdullah (tiga dari kanan) dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah keluaran Great Wall Motor (GWM), WEY G9, di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Great Wall Motor (GWM) menyasarkan jualan tahunan sebanyak 10,000 unit bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah kuasa elektrik hibrid (PHEV) pemasangan tempatan (CKD) pertama dari China, WEY G9.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, jumlah sasaran tersebut mencakupi 5,000 unit bagi pasaran tempatan manakala selebihnya pasaran eksport.

“Untuk pasaran domestik, kita sasar jualan 5,000 unit setahun.

“Bagi pasaran antarabangsa, sekarang kita eksport ke Thailand dan terdapat dua lagi pasaran negara ASEAN yang akan kita umumkan nanti, maka jumlah kedua-duanya adalah 10,000 unit setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran WEY G9 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin di sini.

Model MPV itu dijual pada harga RM269,800 dengan tiga warna pilihan iaitu Aurora White (putih), Wisdom Grey (kelabu) dan Nebula Black (hitam).

Dalam majlis sama, Tze Tzin menyerahkan kunci kepada pemilik pertama WEY G9, iaitu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Sistem Hi4 PHEV dalam WEY G9 direka untuk menyingkirkan kompromi yang biasa berlaku antara kecekapan elektrik dan kebolehgunaan jarak jauh.

Ia menggabungkan enjin caj turbo dengan motor dwielektrik bertujuan memberikan pemanduan elektrik kepada kedua-dua gandar roda hadapan dan belakang.

Sistem ini menghasilkan kombinasi tork 442 kuasa kuda (PS) dan 642 Newton meter (Nm) yang mampu mencapai kelajuan 0 hingga 100 kilometer per jam (km/jam) dalam 5.7 saat manakala kawalan agihan tork pintar (iTVC) secara berterusan menyokong pemanduan yang stabil dan meyakinkan untuk menghadapi pelbagai jenis jalan raya dan keadaan cuaca.

Ia memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 km dengan perjalanan harian yang senyap dan cekap selain jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 km bagi membolehkan perjalanan lebih panjang.

Walaupun ketika tahap bateri adalah rendah, penggunaan bahan api tetap cekap pada 6.2 liter bagi setiap 100 km dengan sokongan pengurusan tenaga pintar dan peralihan lancar di antara mod hibrid siri dan hibrid selari sekali gus dapat memastikan kecekapan boleh dijangka dalam keadaan pemanduan sebenar di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×