SPM 2020: Pencapaian pelajar luar bandar lebih baik - Utusan Malaysia

SPM 2020: Pencapaian pelajar luar bandar lebih baik

NUR Najiha Najwa Zul Burhan berkongsi kejayaan mendapat 10A dalam peperiksaan SPM bersama ibu dan bapanya di Kampung Pida 15, Tok Pulau, Simpang Empat, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun berdepan kesukaran dalam pembelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19, pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di luar bandar menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding kawasan bandar.

Keputusan itu dapat dilihat daripada jurang antara dua lokasi itu dikecilkan sebanyak 0.38 bagi nilai Gred Purata Nasional (GPN) berbanding 2019 iaitu 0.44.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, prestasi calon di luar bandar merekodkan GPN dengan nilai 5.06 iaitu meningkat berbanding tahun sebelumnya sebanyak 5.15 mata.

“Pencapaian di bandar pula mencatatkan gred purata 4.68 dan hanya berbeza 0.02 mata berbanding 2019 iaitu sebanyak 4.70,” katanya dalam sidang akhbar khas keputusan SPM 2020, semalam.

Menurutnya, jurang antara luar bandar dan bandar lebih kecil berbanding 0.44 direkodkan GPN pada 2019.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada tahun lalu ekoran penularan Covid-19 menyebabkan sekolah terpaksa ditutup selama 110 hari sepanjang 2020 dengan pelajar perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam episod pembelajaran kebiasaan baharu itu, pelajar luar bandar menghadapi pelbagai cabaran ekoran masalah peranti dan ketiadaan akses internet yang baik.

Menurut Radzi, keputusan keseluruhan SPM 2020 merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun walaupun pelaksanaan peperiksaan itu berlangsung dalam tempoh mencabar dan prestasi peperiksaan itu menunjukkan peningkatan berdasarkan dengan indeks GPN dicatatkan pada nilai 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Beliau berkata, sebanyak 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi manakala 39 mata pelajaran menunjukkan penurunan dan satu mata pelajaran kekal daripada keseluruhan 83 mata pelajaran yang ditawarkan.

Jelasnya, bagi mata pelajaran teras, Sejarah, Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan namun dua mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula menurun.

Beliau berkata, Calon Layak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.
Katanya, bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Layak Sijil SPM, terdapat 6.88 peratus peningkatan iaitu 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad pula berkata, peningkatan pencapaian luar bandar adalah suatu yang mengejutkan kerana ia diluar kebiasaan.

“Kita semua tahu pelajar luar bandar dan pedalaman paling teruk terkesan apabila sekolah ditutup. Mereka terputus akses pembelajaran, ketiadaan capaian internet menyebabkan keadaan lebih sukar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Bagaimanapun katanya, data menunjukkan tanpa pengajaran guru secara bersemuka, anak-anak luar bandar dan pedalaman masih boleh berjaya meningkatkan prestasi mereka.

Jelasnya, kejayaan menguruskan pendidikan negara walaupun dalam tempoh sukar pandemik Covid-19 merupakan satu perkara perlu dibanggakan kerana prestasi pelajar masih lebih baik berbanding sebelumnya yang belajar dalam keadaan normal.

Dalam masa sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, meskipun SPM 2020 mencatatkan pencapaian cemerlang namun soal peranti serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu ditambah baik agar masalah berlaku selama ini tidak terjadi untuk peperiksaan sama pada tahun akan datang.

“Namun kejayaan ini adalah disebabkan oleh usaha guru dan ibu bapa yang memainkan peranan utama agar anak mereka tidak tercicir dalam pelajaran. Walaupun ada kekurangan, tetapi semua pihak berganding bahu memudahkan proses pembelajaran pelajar tingkatan lima,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan segera oleh pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan berkenaan jurang antara pelajar mendaftar dan mereka yang menduduki SPM 2020 bagi mencari punca masalah itu berlaku.

Menurutnya, terdapat 19,211 orang calon yang gagal menduduki SPM berbanding 401,105 calon mendaftar.

Daripada jumlah itu, hanya 381,894 pelajar direkodkan menduduki peperiksaan itu yang berlangsung pada awal tahun ini.

Katanya, kajian teliti dan mendalam perlu dilakukan bagi mencari permasalahan dihadapi calon tidak menduduki SPM agar memastikannya tidak berulang pada masa depan.

Beliau turut menggesa pelajar tingkatan lima didahulukan untuk belajar secara bersemuka di sekolah sekiranya dibuka pada masa terdekat berbanding murid-murid lain serta guru terlibat SPM diberi keutamaan suntikan vaksin Covid-19.

Namun katanya, jika situasi pandemik belum reda, beliau mencadangkan agar pelajar SPM diberikan alat peranti untuk memudahkan mereka menjalani proses PdPR.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, keputusan SPM 2020 membuktikan program dan dasar-dasar yang dilaksanakan di peringkat Kementerian Pendidikan bagi merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar sudah menampakkan hasil.

Katanya, pihaknya juga berharap agar Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dapat merapatkan lagi jurang pendidikan dan jurang digital antara luar bandar dan bandar.

Menurut Mohd. Azizie, peningkatan keputusan juga membuktikan guru-guru memberikan komitmen yang terbaik bagi memastikan pelajarnya mencapai kejayaan.

“Ia juga menunjukkan pelaksanaan PdPR yang dilalui membuahkan hasil yang baik kesan kerjasama semua pihak iaitu sekolah, guru dan ibu bapa. Isu capaian internet dan kemudahan bukanlah penghalang untuk berjaya sekiranya ada kemahuan yang kuat dan cita-cita yang tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×