GISBH: Peguam mohon masa teliti dokumen 10,000 halaman

GISBH: Peguam mohon masa teliti dokumen 10,000 halaman

MOHD. Nasiruddin Mohd. Ali tiba di Mahkamah Sesyen bagi prosiding pengurusan kes dihadapi melibatkan pemindahaan dan penerimaan wang berjumlah RM38.16 juta, di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peguam mewa-kili Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) memohon tempoh masa mencukupi untuk meneliti dokumen setebal kira-kira 10,000 muka surat dikemukakan pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Dokumen berkenaan me­rangkumi penyata bank dan maklumat syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali.

Turut didakwa ialah bekas akauntan syarikat itu, Hamimah Yakub, 74, Asmat @ Asmanira Muha­mad Ramly, 45, serta suaminya, Md. Khushairi Osman, 55.

Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Mohd. Nasiruddin, Asmat @ Asmanira dan Md. Khushairi berkata, beliau menerima dokumen dalam bentuk cakera padat (CD) dan diarahkan anak guamnya meneliti keseluruhan bahan berkenaan sebelum mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kami menerima dokumen dalam bentuk CD. Seperti representasi berkaitan Akta Kesa­lahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), ia mengambil masa sehingga sembilan bulan. Saya percaya bagi permohonan kali ini keputusan representasi akan mengambil masa sehingga tiga bulan.

“Justeru, saya memerlukan empat bulan dan mencadang­kan tarikh sebutan semula pada 4 atau 5 Mei depan bagi sebutan keputusan representasi. Paling cepat untuk saya teliti dokumen (setebal 10,000 muka surat) adalah tiga ming­gu dari tarikh hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan dokumen tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan te­lah diserahkan kepada semua tertuduh.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Khair Yakub yang mewakili Hamimah memohon agar jaminan yang sebelum ini dikenakan di Mahkamah Se­syen Kulim dibenarkan untuk diteruskan di mahkamah ini.

Hakim Datin Fatimah Zahari membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan jaminan RM5,000 terhadap Hamimah diteruskan dengan syarat tambahan.

Mahkamah turut menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi keputusan representasi.

Keempat-empat tertuduh se­belum ini berdepan keseluruhan­ 331 pertuduhan melibatkan pe­nerimaan dan pemindahan wang­ berjumlah RM38.16 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan

Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×