PETALING JAYA: Tindakan tidak menjemput Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke mesyuarat luar biasa Perikatan Nasional (PN) jelas melanggar perlembagaan gabungan itu.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Muhyiddin mesti dijemput ke mesyuarat itu kerana beliau masih Pengerusi PN selagi Majlis Tertinggi (MT) PN tidak meluluskan peletakan jawatan.
“Walau apapun kandungan surat Tan Sri Muhyiddin, Perlembagaan PN adalah sumber otoriti parti yang paling tinggi.
“Benarlah, ini benda kecil sahaja. Bukan ribut dalam cawan pun.
“Masukkan saja nama Tan Sri Muhyiddin dalam lampiran surat jemputan ke Mesyuarat Luar Biasa PN. Takkan jadi kecoh. Nama lengkap Tan Sri Muhyiddin cuma mengandungi 25 huruf. Tak lenguh pun jari menaip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertahankan tindakannya tidak menjemput Muhyiddin ke mesyuarat luar biasa PN.
Takiyuddin sebelum ini memaklumkan keputusan untuk tidak menamakan Muhyiddin dalam senarai hadir ke mesyuarat luar biasa MT PN yang sepatutnya pada hari ini susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Sebaliknya, mesyuarat itu dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin malam ini.
Difahamkan, pertemuan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi menentukan hala tuju sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya. – UTUSAN










