Apa agenda Sanusi dalam tuntutan Pulau Pinang? 

Apa agenda Sanusi dalam tuntutan Pulau Pinang? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan mempertikai tujuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkaitan tuntutan negeri itu yang menuntut Pulau Pinang sehingga membawa ke mahkamah.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata, tuntutan Muhammad Sanusi itu merupakan satu tuntutan yang tidak serius dan remeh sehinggakan ia dijangka akan dibatalkan oleh mahkamah.

“Apakah tujuan kerajaan Kedah ataupun Menteri Besar, membawa isu ini ke kalangan orang ramai? Apakah agenda dan motif beliau? Saya nak tanya, adakah penasihat undang-undang Kedah merestui atau bersetuju dengan cadangan membawa tindakan ini ke mahkamah?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh kerana sudah tentunya ia satu (perkara) yang amat remeh, saya bersetuju dengan ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) di dewan yang mulia ini pada beberapa hari lalu yang beliau telah outline beberapa peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menunjukkan dengan jelas bahawa Pulau Pinang adalah satu negeri berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan Kon Yeow menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah selain menegaskan ia tidak berperlembagaan. 

Kon Yoew berkata, Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, tuntutan Kedah itu tidak boleh disamakan dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah setelah ia dibuat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, semua tindakan yang diambil kerajaan Kedah akan berlandaskan undang-undang Perlembagaan sedia ada dan tidak melanggar mana-mana peruntukan.

Ramkarpal berkata, beliau selaku individu yang berasal dari Pulau Pinang akan melindungi kedaulatan negerinya itu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini