Sindiket dadah tukar inap desa setiap 4 hari elak dikesan

Sindiket dadah tukar inap desa setiap 4 hari elak dikesan

Fadil Marsus bersama sebahagian daripada 261 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM13 juta yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 261 kilogram bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM13 juta dalam serbuan di Sentul, di sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah Sentul bersama JSJN Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah inap desa di Segambut, Sentul kira-kira pukul 7 petang, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan pertama dijalankan terhadap tiga suspek lelaki tempatan di kediaman terbabit.

Jelasnya, pemeriksaan dilakukan di ruang tamu premis itu menemukan 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh Cina berisi bahan disyaki syabu.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 261 kilogram dengan nilai pasaran RM13 juta.

“Dalam serbuan berasingan, seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes sama turut ditahan berhampiran kawasan rumah inap desa berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket yang bergiat aktif sejak enam bulan lalu itu menyewa inap desa dengan bayaran RM200 semalam sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah sebelum diedarkan.

Ujarnya, sindiket kerap berpindah ke inap desa lain dalam tempoh singkat bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Selepas menginap kira-kira empat hari, mereka akan ke inap desa lain. Kita turut menyita harta di bawah Akta Dadah Berbahaya Pelucuthakan Harta 1988 yang dianggarkan bernilai RM100,100.

“Harta yang disita termasuk wang tunai RM100, sebuah kenderaan jenis Vellfire bernilai RM70,000 serta sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bernilai RM30,000.

“Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan dan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Fadil menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti berkaitan dadah. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×