KUALA LUMPUR: Seramai 291 individu termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam operasi besar-besaran di sekitar negeri Perak Johor dan Kuala Lumpur.
Dalam operasi dikenali sebagai Op Gaurus yang dijalankan bermula 17 hingga 21 Jun lalu, pelbagai jenis dadah bernilai RM6.26 juta serta menyita beberapa kenderaan mewah termasuk sebuah Maserati Ghibli dianggarkan bernilai lebih RM300,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu melibatkan enam daerah di Perak iaitu Taiping, Ipoh, Batu Gajah, Tapah, Manjung dan Hilir Perak, sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur dan Johor menerusi operasi susulan.
“Antara kejayaan terbesar operasi ini ialah penahanan dalang utama sindiket yang bergelar Datuk di Taman Midah, Cheras.
“Siasatan mendapati suspek bukan sahaja dalang sindiket pengedaran dadah, malah dipercayai ketua sebuah kumpulan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hussein berkata, seramai 291 ahli sindiket itu diberkas termasuk 21 individu yang turut disiasat kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak pertengahan tahun 2024 dan menjalankan kegiatan memproses, menyimpan serta mengedar dadah bagi pasaran di Lembah Klang, Johor, Perak dan Melaka.
Jelasnya, antara dadah yang dirampas ialah MDMA, pil ekstasi dan ketamin dengan nilai keseluruhan RM6.26 juta.
“Sindiket ini juga memiliki pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.
“Kami percaya bekalan dadah itu disasarkan kepada pusat-pusat hiburan,” katanya.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita pelbagai aset termasuk beberapa kenderaan dengan nilai keseluruhan melebihi RM700,000.
Hussein berkata, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan termasuk rangkaian makmal pemprosesan dan stor simpanan dadah memberi tamparan hebat kepada kegiatan pengedaran dadah di negara ini.
“JSJN akan terus mempergiat operasi bagi mengesan dan menumpaskan sindiket dadah lain yang masih aktif,” katanya. – UTUSAN










