UMNO lebih minat jajaran baharu? - Utusan Malaysia

UMNO lebih minat jajaran baharu?

ADA gesaan agar UMNO menamatkan kerjasama dengan Pas, malah tidak lagi mengharapkan keikhlasan daripada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai sekutu dalam Muafakat Nasional (MN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Desakan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed agar sokongan terhadap Pas ditarik perlu dilihat dengan serius oleh pemimpin kedua-dua parti ber­kenaan.

Penganalisis politik, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, gesaan berkenaan secara tidak langsung memberi petunjuk sokongan terhadap Pas semakin terhakis.

Malah katanya, gesaan itu juga menunjukkan kebanyakan pemimpin UMNO dilihat lebih berminat dengan politik jajaran baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 ).

“Sebelum ini pun, ada beberapa pemimpin mereka dikaitkan dengan DAP dan kali ini wujud pula gesaan sebegini yang me­nunjukkan kehakisan sokongan kepada Pas.

“Namun, pemimpin UMNO tahu mereka tidak boleh bersendirian dalam PRU-15 dan apabila ada gesaan sebegini, pihak pembangkang mungkin dalam masa sama mengintai peluang untuk bersama UMNO, “ katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Nur Jazlan membuat gesaan agar UMNO menamatkan kerjasama dengan Pas dan tidak mengharapkan keikhlasan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai sekutu dalam Muafakat Nasional (MN).

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, kenyataan Nur Jazlan itu memberi gambaran penolakan total UMNO Johor terhadap kerjasama membabitkan Pas.

“Ini bukan perkara pelik kerana sebelum ini pun Nur Jazlan telah menyatakan pendirian sama.

“Selain beliau, beberapa pemimpin UMNO lain dari nege­ri tersebut juga mengeluarkan kenyataan senada. Jadi itulah hala tuju kebanyakan pemimpin UMNO sekarang,” ujarnya.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, kenya­taan Nur Jazlan bersifat peribadi itu dikeluarkan selepas tidak lagi boleh memainkan pe­ranan besar dalam kerajaan dan menyedari bahawa PRU-15 memberi saingan sukar.

“Desakan dalaman UMNO yang mahu kepimpinan baharu juga menjadikan ramai yang menepuk air ke dulang terpercik ke muka sendiri,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×