Tiga lelaki ditahan pecah masuk pejabat 

Tiga lelaki ditahan pecah masuk pejabat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia selepas memecah masuk sebuah pejabat di Villa Shoplex Pudu Impian, Jalan Pudu Ulu di sini, Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kejadian disedari  seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun pada  pukul 7 pagi Isnin lalu, selepas mendapati pejabatnya dipecah masuk melalui bumbung.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan elektrik di pejabat itu termasuk pencetak dan projektor telah dicuri.

“Bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan beberapa serbuan sekitar Ampang dan Cheras pada pukul 2 pagi kelmarin.

“Dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 54 tahun, ditahan dipercayai terlibat dalam kes terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes ini dan beberapa barangan elektrik yang dicuri turut dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari bermula kelmarin hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×