SEREMBAN: Seramai 30 orang lelaki warga asing ditahan di sebuah tapak pembinaan di Nilai di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua mereka terdiri daripada 21 warganegara China, dua warga negara Bangladesh serta tujuh warganegara Myanmar.
“Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 1 tengah itu melibatkan pemeriksaan terhadap 63 orang warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 30 orang lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Alzafny berkata, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi tindakan lanjut.
“Hasil saringan awal berpandukan Garis Panduan Kebangsaan Petunjuk Pemerdagangan Orang (NIGHTI) 2.0 mendapati tiada unsur pemerdangan manusia bagi tujuan eksploitasi buruh paksa dikesan dalam operasi berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, polis sedang giat mengesan majikan dan pihak yang terlibat serta kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). – UTUSAN








