KUALA LUMPUR: Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya berlangsung hari ini untuk membincangkan kedudukan Pengerusi gabungan itu dibatalkan atas alasan tidak mengikut Perlembagaan parti.
Sumber berkata, pembatalan dibuat atas permintaan presiden-presiden komponen PN.
“Mesyuarat Tertinggi melanggar Perlembagaan PN di mana perlu diadakan satu mesyuarat lain untuk selaras input dalam kalangan parti komponen sebelum mengadakan Mesyuarat MT.
“Namun ia tidak dibuat. Sebab itu ada bantahan dalam kalangan Presiden parti komponen PN dengan menghantar surat dan meminta mesyuarat itu dibatalkan kerana tidak mengikut Perlembagaan,” katanya.
Semalam, akhbar ini me-laporkan mesyuarat Majlis Ter-tinggi PN dijadualkan hari ini dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Ia telah ditukar kepada pertemuan empat presiden di kediaman Muhyiddin,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil satu mesyuarat luar biasa PN bagi membincangkan pelantikan Pengerusi PN ekoran peletakan jawatan Muhyiddin.
Mengenai agenda mesyuarat hari ini katanya, ia akan membincangkan tentang penubuhan Majlis Eksekutif serta pindaan berkaitan kuasa Majlis Presiden.
Katanya, pengesahan itu susulan daripada perbincangan awal mengenai perkara membabitkan Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Secara dasar, apa yang dibincang dalam pertemuan sebelum ini akan dibawa secara rasmi menerusi mesyuarat Majlis Pre-siden membabitkan empat Pre-siden daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP.
“Hasil perbincangan akan dibawa kepada mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) PN,” katanya. – UTUSAN










