KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mendakwa, pengumuman kerajaan mengenai ujian diagnostik khas murid enam tahun untuk memasuki Tahun Satu dibuat tanpa kajian menyeluruh, menyebabkan rakyat gelisah.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mendakwa, walaupun pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan ujian itu semalam tindakan yang bagus, ia pada masa sama menandakan seolah-olah tiada kajian lengkap dilakukan kerajaan.
Beliau berkata, tindakan itu mengakibatkan ibu bapa menjadi resah kerana bimbang anak mereka ketinggalan.
“Guru pun jadi kelam kabut, sekolah pun tidak pasti cukup kelas atau tidak, berapa kekosongan yang ada untuk Tahun Satu berumur enam tahun, berapa kemampuan kelas kita, silibus dan fasiliti pun siap atau tidak?
“Ini bukan isu keci-kecil, ini masa depan anak-anak. Cara kerajaan umum seolah-olah memberi mesej ‘umum dulu, kaji kemudian’.
“Kalau begini cara kerajaan buat dasar, ini bukan sahaja dasar itu rosak, kepercayaan rakyat pada kerajaan pun rosak,” katanya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










