Kerugian sebenar apabila gagal mengakui sejarah maritim

Kerugian sebenar apabila gagal mengakui sejarah maritim

maritim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Pada tahun 2014, Presiden Indonesia, Joko Widodo, berdiri di hadapan dunia dan mengisytiharkan Indonesia sebagai sebuah negara maritim.
Ia bukan sekadar retorik. Ia adalah strategi mengembalikan korpus memori bangsa tentang samudera yang pernah dikuasai, dan jati diri yang dibentuk bukan di daratan semata-mata, tetapi di laut dalam.
Jokowi pada masa itu berhasrat membangkitkan identiti sejarah Indonesia sebagai bangsa pelaut, dengan menghidupkan kembali semangat kerajaan-kerajaan kuno yang penuh aspirasi menguasai Nusantaranya. Beliau secara terbuka menyeru Indonesia untuk menuntut kembali kegemilangan silam dan jangan lagi membelakangkan laut, teluk dan selatnya.
Daripada pengisytiharan itu lahir dasar, maruah, dan hala tuju ke hadapan. Indonesia mula berbicara kembali tentang laut dan kepentingannya. Sejarawannya mengenang jasa Keumalahayati, laksamana wanita yang perkasa, memimpin armada dan menewaskan kuasa penjajah, diiktiraf UNESCO sebagai laksamana wanita pertama di dunia.
Mereka menghidupkan kembali sejarah Raden Wijaya, yang disebut dalam Pararaton dan diperkukuhkan melalui naratif Nagarakretagama karya Mpu Prapanca, merupakan pengasas dan arkitek awal kebangkitan Majapahit.
Raden Wijaya licik memperdaya dan menewaskan armada Mongol antara empayar terkuat yang pernah dikenali sejarah. Sejarah bukan semata-mata nostalgia, tetapi sebagai modal strategik. Kapal Borobudur menjadi penanda warisan maritim sejak abad ke-7.

Amnesia Maritim

Lalu, bagaimana pula dengan Malaysia?
Kita sebuah negara yang lahir dilakar sungai, selat dan samudera luas, sastera dan sejarah kita disulami bahasa maritim. Namun kita menolak sejarah kita – bukan tiada tetapi dikuburkan. Dianggap mitos. Bayangan. Igauan.
Melaka, yang suatu ketika dahulu merupakan nadi perdagangan maritim global, namanya menghiasi laluan air semula jadi paling sibuk di dunia hingga hari ini – kini, merupakan bayangan kenangan masa silamnya. Kapal penjajah menjadi kebanggaan.
Tapak Warisan Sungai Batu diiktiraf sebagai antara hab industri besi dan kegiatan maritim terawal di Asia Tenggara, sejak ditemui pada tahun 2008, membuktikan kewujudan jaringan perdagangan antarabangsa sejak abad ke-2 Masihi, masih hampir tidak dikenali di luar lingkungan akademik.
Kita tidak menyediakan dana mencukupi untuk menggali kapal-kapal purba yang tertanam di Sg Batu dan rahsia yang dikandunginya terus terkubur.
Ini bukan catatan kecil di kaki halaman sejarah. Ini ialah sauh peradaban yang kita abaikan.
Apabila Ilmu Hilang dalam Pasang Surut Samudera
Yang paling tragis mungkin Pulau Duyong, pernah terkenal dengan tukang-tukang kapal agungnya, para nakhoda, penjaga seni bina perkapalan tempatan yang diperhalusi berabad-abad lamanya.
Terima kasih pada Uthman Zaik dan Puan Ainun Radzi yang menghidupkan kisah Nakhoda dalam penulisan fan buku terbaru mereka.
Malangnya hari ini, pembuatan perahu tradisi di Pulau Duyong semakin merosot. Ilmu lenyap bukan kerana tiada nilai, tetapi kerana tiada juara baru yang mempertahankannya.
Terengganu masih meraikan warisan maritim ini melalui muzium, tukang-tukang, dan naratif warisan. Allahyarham Tun Abdullah memilih dengan tepat apabila membawa Piala Monsun ke Terengganu. Kini telah tenggelam dan hilang…
Hari ini? Melaka sedang berusaha keras untuk mengembalikan memori maritimnya. Sarawak begitu ghairah menggali sejarah masa lalu untuk membina masa depannya. Bagaimana yang lain-lainnya?

Pemimpin Membentuk Korpus Memori

Sesuatu bangsa itu mengingati apa yang negaranya memilih untuk diingati.
Jokowi memilih maritim, lalu membentuk naratif negara berteraskan pilihan itu. Malaysia, sebaliknya, sering memperlakukan warisan maritimnya sebagai sesuatu yang boleh diperlekehkan atau diketawakan tanpa satu kesungguhan untuk mengkaji sejarah ini.
Tanpa sokongan atau ‘willpower’ pucuk pimpinan, sejarah maritim dibiar lapuk: terkurung di muzium, terkunci dalam makalah akademik, atau lenyap bersama mereka yang masih mengingatinya.
Kerugian bukan sekadar kehilangan budaya. Ia adalah kerugian dari segi strategi. Identiti, jatidiri. Bangsa yang lupa bahawa pernah menguasai lautan akan berfikiran sempit dan terkurung di daratan – walaupun hidup di persimpangan maritim terpenting dunia.
Lebih memalukan Akademi Maritim Hang Tuah ialah sebuah institusi pendidikan maritim yang berpusat di Surabaya, dan bernaung di bawah Yayasan Hang Tuah, yang mempunyai kaitan rapat dengan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI AL).
Peranan dan fokusnya adalah untuk melatih tenaga profesional maritim: pelayaran, nautika, kejuruteraan marin, pendidikan vokasional & akademik bidang perkapalan serta menyokong agenda Indonesia sebagai negara maritim.
Kita pula masih berbalah samada Hang Tuah wujud atau tidak.
Sebuah negara maritim memahami perdagangan, diplomasi, daya tahan, dan keterbukaan. Ia memahami pasang surut, risiko, dan jarak masa yang panjang. Nenek moyang kita menyeberangi lautan berpandukan bintang dan cerita sebagai peta.
Keyakinan mereka tidak lahir daripada dominasi, tetapi daripada penguasaan, kebolehsuaian, dan pengetahuan mendalam tentang alam.
Selagi kita tidak sanggup menyatakan dengan jelas dan yakin bahawa kita ialah sebuah tamadun maritim, Malaysia akan terus mengejar bayang-bayang sejarahnya sendiri.
Laut tidak melupakan kita.
Persoalannya, adakah kita masih mengingati siapa kita?
Ninot Aziz
Penulis dan Penyair
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×