Pantai Telaga Papan makin dihakis ombak

Pantai Telaga Papan makin dihakis ombak

KEADAAN chalet yang hanya menunggu masa dihanyutkan arus ombak akibat hakisan di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu. – UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Pantai Telaga Papan di sini, yang pernah menjadi antara lokasi pelancongan popular kini semakin hilang akibat ha­kisan ombak sejak 10 tahun lalu.

Seorang penduduk, Rosli Yacob, 46, berkata, jarak pantai itu yang dahulu terletak kira-kira 300 meter semakin terhakis sedikit demi sedikit bahagian daratannya.

“Hakisan ini berlarutan sejak 10 tahun lalu, dan ia semakin ketara lima tahun kebelakangan ini, dengan banyak fasiliti disediakan berhampiran pantai, musnah.

“Sebelum ini, terdapat ba­nyak chalet didirikan di sepanjang pantai namun kini hanya tinggal sebuah yang masih beroperasi. Yang lain, ada yang runtuh akibat hakisan,” kata­nya ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Rosli, kini chalet-chalet yang terjejas hanya tinggal ‘rangka’ dan menunggu masa hanyut dibawa arus ombak.

Katanya, kesan hakisan itu sehingga kira-kira lima kilometer dari Pantai Telaga Papan hingga ke Kampung Bari Besar.

Seorang lagi penduduk, Suk­ri Mohamed, 60, berkata, selain penempatan dan fasiliti, hakisan turut memberi impak kepada nelayan di pantai tersebut.

“Selain menjadi tarikan pelancongan, pantai ini adalah lokasi menaikkan ikan oleh nelayan setempat dengan orang ramai berkunjung untuk mendapatkan ikan segar.

“Bagaimanapun, apabila ben­tuk muka bumi berubah dengan pantai terhakis membuatkan nelayan tidak boleh berlabuh di sini dan berpindah ke Pantai Penarik,” katanya.

Justeru, mereka berharap pihak berwajib mencari penyelesaian yang lebih efektif bagi menangani masalah hakisan itu termasuk membina benteng pemecah ombak di kawasan berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×