KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berharap gandingan utama negara, Pearly Tan–M. Thinaah mampu mengekalkan momentum cemerlang mereka dengan terus mara ke pentas final secara konsisten pada musim ini selepas mencatat lapan penampilan perlawanan akhir sepanjang musim lalu.
Rosman berkata, pencapaian luar biasa itu telah melonjakkan tahap keyakinan pasangan No.2 dunia berkenaan, namun menegaskan keutamaan kini adalah memastikan prestasi tersebut dapat dikekalkan dan bukan sekadar bersifat sementara.
“Sejujurnya, pencapaian mereka tahun lalu meningkat dengan sangat mendadak dan di luar jangkaan, jadi sasaran kita sekarang adalah untuk mengekalkan tahap itu, sekurang-kurangnya kekal konsisten ke final seperti musim lepas.
“Untuk tahap mereka sebagai pemain nombor dua dunia, saya rasa penting untuk ada pencapaian yang boleh melonjakkan keyakinan menjelang kejohanan seterusnya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Menurut Rosman, berdasarkan prestasi sebenar di gelanggang, Pearly–Thinaah sudah berada dalam kelompok empat beregu terbaik dunia, namun penilaian realistik perlu diteruskan bagi memastikan perkembangan mereka kekal seiring dengan tuntutan persaingan elit.
Beliau menjelaskan, perancangan jangka panjang pasangan itu kekal menjurus kepada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dengan sasaran utama adalah melayakkan diri serta memburu pingat di temasya berprestij berkenaan.
Rosman turut mengakui cabaran utama masih datang daripada beregu China yang memiliki kekuatan fizikal dan taktikal tinggi, selain menyedari masih terdapat jurang prestasi tertentu yang perlu diperbaiki secara berperingkat.
“Sama ada menang atau kalah, kami akan terus menilai program latihan dan memastikan proses pembangunan berjalan berterusan, bukan hanya tertumpu kepada satu kejohanan atau satu musim,” katanya.
Tahun lalu, Pearly-Thinaah merangkul empat gelaran menerusi, Terbuka Thailand, Arctic, Kumamoto Masters dan Sukan SEA Thailand 2025 manakala bergelar naib juara pada, Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Jepun dan Kejohanan Dunia.
Baru-baru ini, Pearly–Thinaah menambah koleksi kejuaraan mereka apabila dinobatkan juara Indonesia Masters selepas pasangan Jepun, Arisa Igarashi–Miyu Takahashi menarik diri daripada final kejohanan Super 500 itu. – UTUSAN











