KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Seremban di sini semalam menolak permohonan seorang ibu kepada dua anak supaya diisytiharkan sebagai bukan beragama Islam.
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memaklumkan, Hakim Wan Fadhilah Nor memutuskan demikian dengan kos RM4,000 atas alasan mahkamah terikat dengan keputusan kes terdahulu.
Rekod turut menunjukkan pemohon melalui beberapa siri pengisytiharan agamanya sebagai agama Islam termasuk permohonan kad pengenalan pemohon, perkahwinan dan perceraian secara Islam.
Mahkamah mengambil kira bahawa rekod dokumentasi berhubung pengislaman pemohon ketika berusia empat tahun termasuk Kad Perakuan Masuk Islam wanita.
Dokumentasi jelas menunjukkan bahawa kedua ibu bapa pemohon memeluk Islam dan mengislamkan pemohon selaras peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952.
Menurut enakmen tersebut, kanak-kanak bawah 18 tahun boleh masuk Islam dengan kebenaran bertulis ibu atau bapa atau penjaga yang mana dalam kes ini, kedua-dua ibu dan bapa pemohon memeluk Islam.
Tambah Zainul Rijal, Mahkamah memutuskan bahawa isu yang ditimbulkan oleh wanita terbabit tidak boleh diterima sebagai tuntutan ‘ab initio bukan Islam’ sebaliknya berada dalam kategori keluar daripada agama Islam (renunciation) yang tertakluk kepada kerangka bidang kuasa mahkamah Syariah.
Ujarnya, prinsip Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah mengehadkan campur tangan Mahkamah Sivil dalam perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Oleh itu, forum sesuai ialah Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil,” katanya mewakili Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Wanita terbabit memfailkan saman pemula itu pada 23 Mac 2023 dengan menamakan Kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Pendaftaran Negara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Wanita itu diwakili peguam-peguam, Khartigesan Shanmugam dan A.R Thamayanthy manakala responden pertama dan ketiga diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Amalina Zainal Mohtar. – UTUSAN











