Jurang kekayaan penyewa, pemilik rumah melebar

Jurang kekayaan penyewa, pemilik rumah melebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurang kekayaan antara penyewa dan pemilik rumah di Malaysia terus melebar, dengan perbezaan mencecah RM5,000 dalam tempoh setahun, menurut firma hartanah, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, peningkatan harga rumah dan kadar faedah pinjaman yang rendah telah memberikan kelebihan kewangan yang ketara kepada pemilik rumah berbanding penyewa.

“Secara purata di seluruh Malaysia, pemilik rumah berada RM5,000 di hadapan penyewa dalam tempoh 12 bulan lalu. Di Johor, jurang itu jauh lebih besar, dengan pemilik rumah hampir RM28,000 lebih kaya berbanding penyewa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, jurang kekayaan tersebut menjadi semakin signifikan dalam jangka panjang.

“Walaupun perbezaannya sekitar RM5,000 setahun, dalam tempoh sedekad ia boleh mencecah RM50,000, apabila pemilik rumah terus meningkatkan nilai kekayaan mereka dari tahun ke tahun,” katanya.

Menurut beliau, Johor muncul sebagai negeri dengan keuntungan tertinggi kepada pemilik rumah, didorong oleh pertumbuhan harga hartanah sebanyak 5.7 peratus bersamaan peningkatan nilai kira-kira RM26,000 dalam tempoh setahun.

“Ini jauh melebihi bayaran faedah gadai janji tahunan purata sebanyak RM22,294 yang ditanggung oleh pemilik rumah di negeri tersebut.

“Situasi di Johor menunjukkan bahawa pertumbuhan harga rumah adalah faktor paling penting. Apabila harga rumah meningkat, kekayaan bersih pemilik turut bertambah, walaupun keuntungan itu hanya boleh direalisasikan apabila hartanah dijual,” katanya.

Di Pulau Pinang, pemilik rumah berada hampir RM6,000 di hadapan penyewa, manakala di Perak, jurangnya mencecah hampir RM8,000.

Di peringkat nasional, Indeks Harga Rumah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mencatatkan kenaikan 0.7 peratus atau lebih RM3,400 setahun, yang menyumbang kepada kelebihan kewangan pemilik rumah berbanding penyewa.

“Selain kenaikan harga rumah, kadar faedah yang rendah turut memainkan peranan penting,” katanya.

Menurut Kashif, kadar faedah gadai janji yang lebih rendah berbanding hasil sewaan bermakna kos membiayai pembelian rumah melalui pinjaman sering kali lebih murah berbanding menyewa.

“Dalam banyak kes, kos menyewa lebih tinggi daripada kos membayar gadai janji, sekali gus memberikan kelebihan kewangan yang jelas kepada pemilik rumah,” katanya.

Walaupun pemilikan rumah terbukti memberi kelebihan dari sudut kekayaan, Kashif berkata, menyewa masih merupakan pilihan yang wajar dalam keadaan tertentu.

“Menyewa sesuai jika seseorang tidak pasti untuk menetap lama di sesuatu lokasi, contohnya atas faktor pekerjaan, atau jika masih dalam fasa mengumpul simpanan untuk membeli rumah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, analisis ini tidak mengambil kira kos lain seperti utiliti, penyelenggaraan dan yuran pengurusan, sebaliknya memberi tumpuan kepada perbandingan kos dan pulangan kewangan antara menyewa dan memiliki rumah.

“Setiap hartanah adalah unik. Sebelum membuat keputusan membeli atau menyewa, pengguna perlu menilai keadaan kewangan sendiri, membuat kajian terperinci dan mendapatkan khidmat ejen yang berpengalaman bagi memastikan keputusan yang paling bijak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×