KUALA LUMPUR: Tiada lagi sebarang obligasi bayaran dibuat kepada mana-mana pihak, sama ada individu mahupun pihak asing kerana kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah mutlak dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah menghentikan sepenuhnya sebarang bayaran kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu sejak tahun 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang mencabuli kedaulatan negara.
“Kerajaan akan terus mengambil segala langkah perlu melalui saluran perundangan antarabangsa dan diplomasi bagi memastikan isu itu diselesaikan secara tuntas serta tidak lagi mengganggu kepentingan negara pada masa hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) mengenai pendirian Kerajaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ dalam tuntutan pihak berkenaan.
Azalina berkata, kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh langkah dan strategi perundangan bagi menuntut semula kos serta kerugian yang ditanggung susulan tuntutan tidak berasas pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
Katanya, penelitian itu melibatkan tindakan melalui mekanisme perundangan di peringkat domestik dan antarabangsa yang bersesuaian.
“Kerajaan sedang meneliti langkah perundangan yang wajar bagi menuntut kembali kos dan kerugian yang telah ditanggung oleh Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung, susulan tuntutan tidak berasas tersebut,” katanya.
Menurut Azalina, keputusan mahkamah itu merupakan kemenangan besar kepada negara dan menamatkan cubaan penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka untuk memeras wang dan aset Malaysia.
“Kerajaan menegaskan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi dan kemenangan ini menamatkan cubaan tidak berasas penuntut Sulu untuk memeras wang serta aset rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










