Sempadan darat Malaysia-Indonesia masih dalam rundingan

Sempadan darat Malaysia-Indonesia masih dalam rundingan

MOHAMAD Hasan menyampaikan sumbangan kepada para pelajar di Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan SMK Seri Sendayan, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia masih lagi di peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan termasuk berkaitan isu tiga buah kampung di Kalimantan Utara yang dilaporkan memasuki wilayah negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penentuan sempadan darat kedua-dua negara perlu mengambil kira realiti keadaan struktur bawah tanah dan bukan berdasarkan garis lurus pada peta semata-mata.

Menurutnya, garis sempadan yang digariskan secara teknikal dan perundangan lazimnya berbentuk lurus berdasarkan koordinat dan perjanjian lama.

“Dia macam apa yang di atas peta dan apa yang di bawah tanah itu, dia berbeza. Macam kami berunding dengan Brunei sekarang, kalau ikutkan kita punya garisan adalah lurus, tetapi banyak sudah orang Brunei masuk kawasan kita. Jadi, takkan nak suruh mereka jadi rakyat Brunei pula.

“Bila kita ikut undang-undang, dia garis lurus. Kalau kita buat betul, nanti akan ada rumah terbelah dua, dapurnya di Malaysia ataupun depan rumah Malaysia, belakang rumah jambatan di Brunei ataupun Indonesia. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan, Sendayan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan akan mengarahkan jawatankuasa teknikal serta juruukur bagi menjalankan kajian dan penilaian terperinci di lapangan bagi membantu proses perundingan tersebut.

Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mencadangkan agar projek pembinaan sekolah baharu di sekitar kawasan Sendayan dibuat secara ‘Turnkey’ bagi mempercepatkan proses siap berbanding kaedah tender biasa yang memerlukan tempoh lebih panjang.

Katanya, kaedah tersebut membolehkan pemaju yang mempunyai rekod prestasi dan keupayaan yang baik bagi melaksanakan projek dengan lebih cepat serta memastikan tarikh siap dapat dipatuhi, susulan kawasan tersebut merupakan antara hotspot sekolah sesak di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×