PETALING JAYA: Impian untuk melihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dirombak semula mungkin berdepan masalah jika tiada calon yang berani tampil ke hadapan menawarkan diri untuk mengubah nasib bola sepak negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, bola sepak Malaysia yang sedang berada pada titik paling rendah memerlukan individu berjiwa besar dan berkemampuan untuk menerajui FAM.
Bagaimanapun katanya, impian untuk set semula FAM mungkin akan berdepan masalah jika ada pihak yang mula rasa takut untuk menawarkan diri atas sebab-sebab tertentu.
“Saya hairan kalau tidak nampak siapa pemimpin yang akan pimpin FAM kerana selama ini pun pemimpin hadir daripada rakyat kita, tidak ada pula mereka datang daripada ‘langit’. Tetapi kita perlukan masa kerana susah kalau nak (cari) secara mengejut.
“Disebabkan situasi tidak baik dalam FAM, mungkin buatkan orang luar (calon pemimpin baharu) berhati-hati nak masuk. Dengan kesedaran tinggi selepas apa yang berlaku, harapnya ahli gabungan dan pemegang taruh buka mata.
“Jangan nampak sumber (calon baharu) terhad, jangan amalkan dasar berpilih atau pasang ‘tembok tinggi’ sebaliknya berubah dan lebih terbuka. Jadi siapa yang berminat, mulakan kerja daripada sekarang kerana kalau tidak diberi peluang, susahnya nak jadi lebih baik,” katanya.
FAM bakal diterajui saf kepemimpinan baharu selepas semua Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dijangka melepaskan jawatan masing-masing esok bagi memberi laluan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membentuk jawatankuasa sementara mengurus tadbir urus badan induk itu.
Bagaimanapun, terdapat juga dakwaan yang mengatakan terdapat segelintir Exco FAM yang tidak bersetuju untuk melepaskan jawatan berkenaan, biarpun langkah itu diambil bagi menyelamatkan daripada FAM digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sekiranya Exco FAM melepaskan jawatan, satu barisan baharu boleh dibentuk bagi membolehkan usaha-usaha ‘pemurnian’ dalam urus tadbir FAM dilakukan dan paling penting meraih semula kepercayaan FIFA terhadap badan induk bola sepak negara.
Jika peletakan jawatan secara berjemaah tidak berlaku esok, FAM juga perlu melakukan pemilihan Presiden pada bulan depan menggantikan kerusi yang kosong selepas Datuk Mohd. Joehari Ayub meletak jawatan secara mengejut pada Ogos lalu.
Menurut Pekan, jawatan No.1 badan induk itu perlu digalas oleh seseorang yang mempunyai wawasan lebih jelas serta mampu memberi kebaikan kepada semua pihak, bukannya hanya sesetengah golongan sahaja.
Biarpun menyedari segala keputusan adalah hak mutlak mereka yang berada dalam FAM tetapi, Pekan menaruh harapan agar badan induk tidak membuat pilihan terburu-buru yang boleh memberi kesan kepada bola sepak negara. – UTUSAN










