PETALING JAYA: Terdapat pengguna pil pengguguran kandungan, iaitu Misoprostol mengakui mereka mengalami pendarahan beberapa jam selepas menelan pil berkenaan.
Pemerhatian Utusan Malaysia di media-media sosial terhadap maklum balas pembeli pil berkenaan yang sering diringkaskan sebagai ‘Miso’ itu mendapati mereka turut mengalami kekejangan pada bahagian perut.
Komplikasi itu sebelum berlakunya pendarahan diikuti ketulan darah yang dipercayai terdiri daripada janin, kantung, tali pusat serta lebihan darah beku.
Salah seorang penggunanya memberitahu, sejurus pendarahan bermula, dia mengalami cirit-birit dan kekejangan perut namun penjual meyakinkannya bahawa keadaan tersebut adalah normal.
Dalam situasi lain, seorang lagi pengguna mendedahkan dia menggugurkan kandungannya seorang diri dan hanya menyedari pendarahan ketika membuang air kecil.
“Bila sorang-sorang kena hadap sendiri, tidak ada orang jaga. Saya duduk dekat tandas saja, darah meluncur tidak berhenti,” katanya kepada penjual.
Akhbar ini semalam melaporkan pil untuk tujuan menggugurkan kandungan yang sepatutnya hanya boleh dijual kepada pengguna dengan preskripsi doktor kini mudah diperoleh dan bebas ‘didagangkan’ serta dipromosi secara terbuka di media sosial.
Pil jenis Misoprostol atau sering diringkaskan sebagai ‘Miso’ menjadi antara yang paling popular dipromosikan di platform media sosial seperti TikTok dan Threads.
Pemerhatian juga mendapati terdapat penjual yang membekalkan pil tahan sakit bagi membantu mengurangkan kesakitan yang dialami pengguna.
Malah ada juga penjual turut memberi arahan kepada pembeli supaya mengambil jamu tertentu selepas pendarahan berhenti.
Rawatan dan nasihat secara tidak profesional oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang perubatan dimbimbangi menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi mengundang risiko kesihatan lebih serius kepada wanita yang menjalani prosedur tersebut tanpa pengawasan pakar. – UTUSAN










