PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak akan bertanding dalam Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Poland pada Mac ini.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima emel daripada jurulatih Azeem yang menjelaskan sebab-sebab atlet dari Perak itu tidak mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
“Azeem tidak mahu menyertai kejohanan dunia dalam dewan kerana dua perkara. Pertama, dia dan jurulatihnya telah sependapat kejohanan tersebut tiada dalam perancangan latihan atau program Azeem.
“Kedua, tahun ini merupakan tahun akhir pengajian Azeem jadi, dia nak beri tumpuan kepada semester terakhirnya. Dia nak belajar bersungguh-sungguh dan tidak mahu ketinggalan,” kata Karim.
Azeem merupakan prospek negara untuk menyertai kejohanan tersebut secara merit selepas melakukan catatan masa 6.60 saat (s) masing-masing dalam Kejohanan Jemputan UAB Blazer di Birmingham CrossPlex, Alabama dan Kejohanan Terbuka Samford.
Catatan masa 6.59s merupakan syarat kelayakan untuk beraksi secara merit di kejohanan tersebut.
Mengulas lanjut, Karim berkata, badan induk tersebut menghormati keputusan Azeem yang turut berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow pada tahun ini.
“Itulah perancangan Azeem. Kita menghormati keputusan dan dia masih belajar serta mempunyai komitmen dengan universiti. Semua pihak harus menghormati keputusan Azeem.
“Jadi, apabila dia tidak mahu mengambil bahagian, atlet yang berada dalam senarai seterusnya adalah Danish Iftikhar Muhammad Roslee,” katanya. – UTUSAN










