Rafizi persoal, kenapa kerajaan tak bayar balik lebihan cukai

Rafizi persoal, kenapa kerajaan tak bayar balik lebihan cukai

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah tunggakan cukai terlebih bayar yang masih belum dibayar oleh kerajaan dijangka terus meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan kewangan negara.

Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember lalu mengenai peruntukan RM4 bilion bagi melunaskan hutang kerajaan kepada pembayar cukai memberi implikasi besar terhadap kedudukan fiskal negara.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan jumlah sebenar cukai yang terlebih bayar oleh rakyat dan syarikat yang masih belum dipulangkan, memandangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membayar balik lebihan tersebut meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, data menunjukkan jumlah tunggakan bayaran balik cukai meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM21.8 bilion pada 2021, seterusnya meningkat kepada RM25.7 bilion pada 2022, RM25.5 bilion pada 2023 dan melonjak kepada RM33.3 bilion pada 2024.

“Melihatkan kepada trend ini, tunggakan bayaran balik cukai bagi 2025, besar kemungkinan, adalah jauh lebih besar dari RM33.3 bilion iaitu angka terakhir pada 2024,” katanya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut mempersoalkan mengapa Kementerian Kewangan (MOF) dari pentadbiran Perikatan Nasional (PN) hingga ke kerajaan pada hari ini tidak memulangkan kembali cukai yang terlebih kutip dari rakyat dan syarikat.

Katanya, kegagalan tersebut menyebabkan lonjakan tunggakan sehingga 128 peratus dalam tempoh empat tahun, suatu keadaan yang disifatkan sebagai luar biasa.

“Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Apa puncanya? Adakah proses lambat, kekurangan kakitangan atau kelewatan membuat taksiran?.

“Apa perasaan kita kalau kita jadi pembayar cukai yang ada syarikat, kena bayar cukai mengikut anggaran yang ditetapkan, bila kita fail terlebih bayar, kita tidak dapat tiga ke empat tahun. Jika lambat bayar sesuatu dari kerajaan, dua bulan kita masuk penjara,” katanya.

Katanya  Kerajaan Persekutuan mengamalkan perakaunan tunai yang bermakna semua kutipan akan diisytiharkan sebagai hasil walaupun bukan milik kerajaan dan hanya ditolak selepas ia dibayar balik.

“Apabila komitmen bayaran balik cukai kepada rakyat ini meningkat mendadak dari 2020 hingga 2024, adakah ini bermakna hasil Kerajaan Persekutuan sebenarnya terlebih nyata atau over stated.

“Hasil diisytiharkan itu sebenarnya telah terlebih isytihar. Contohnya, hasil bagi 2024 yang diisytiharkan di dewan ini adalah RM322 bilion tetapi jumlah itu termasuk RM33.3 bilion yang sebenarnya bukan hasil kerajaan, itu yang tidak dibayar kepada rakyat,” katanya.

Rafizi berkata, sekiranya keadaan ini berlarutan tanpa dibaiki maka setiap Menteri Kewangan boleh membuat keputusan untuk tidak membayar balik lebihan bayaran cukai tersebut.

“Bila kita jangan bayar balik, tiba-tiba kedudukan fiskal kita nampak cantik sebab kita pegang duit orang tapi defisit kita tunjukkan semakin berkurang. Jika ini diambil kira, kesan hasil yang terlebih nyata itu kena bandingkan dengan saiz ekonomi kita.

“Untuk kita tentukan kalau kerajaan dari 2020 sampai 2024, tidak culas bayaran bayar balik wang rakyat, sebenarnya berapa defisit yang kita telah capai dalam 2023, 2024 dan 2025?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×