BERITA tentang pusat beli-belah yang mula mengurangkan penggunaan beg plastik dianggap langkah positif ke arah kelestarian alam sekitar. Ramai pelanggan kini sudah terbiasa membawa beg kitar semula sendiri, malah ada yang menyimpan beg kain di dalam kereta sebagai persediaan.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan sisa plastik tetapi juga menanam kesedaran tentang tanggungjawab menjaga bumi.
Jika diperhatikan bungkusan pembelian dalam talian, hampir semuanya menggunakan plastik dalam pelbagai bentuk. Plastik nipis membungkus produk, plastik tebal sebagai lapisan luar, malah buih pelindung juga berasaskan bahan sukar terurai. Malah untuk barang kecil, lapisan plastik yang digunakan berkali ganda lebih banyak daripada isinya. Situasi ini seolah bertentangan dengan usaha pengurangan di pusat beli-belah.
Peniaga dalam talian pula mempunyai alasan tersendiri. Plastik murah, mudah digunakan, kalis air dan tahan lasak, menjadikannya pilihan utama untuk memastikan barangan sampai dalam keadaan sempurna. Permintaan pelanggan untuk barangan tanpa kecacatan juga menambah tekanan kepada peniaga menggunakan pembalut tambahan.
Dalam ekosistem ekonomi digital, kecekapan dan keselamatan penghantaran sering diutamakan berbanding kelestarian.
Persoalan utama ialah sejauh mana penggunaan plastik ini dikawal. Tanpa garis panduan ketat, peniaga bebas menggunakan bahan pembungkus sesuka hati. Setiap hari, timbunan plastik baharu lahir hasil ribuan pesanan di seluruh negara. Pelanggan hanya membuka bungkusan, mengambil barang, kemudian membuang plastik tanpa memikirkan kesannya.
Jika keadaan berterusan, pengurangan beg plastik di pusat beli-belah mungkin tidak memberi kesan besar. Sektor e-dagang yang pesat berkembang boleh menenggelamkan usaha tersebut.
Pihak berkuasa boleh mempertimbangkan dasar khas untuk peniaga dalam talian melalui garis panduan pembungkusan mesra alam, insentif cukai atau penarafan hijau, sementara inovasi bahan biodegradasi, kertas mampat dan kotak guna semula dipergiatkan.
Pelanggan pula berperanan memilih peniaga bertanggungjawab terhadap alam sekitar kerana kuasa pengguna menentukan trend pasaran.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Batu Pahat










