Azam guru bukan sekadar angan-angan

Azam guru bukan sekadar angan-angan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menonton Program Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Azam bukan sekadar angan-angan, terdetik di hati saya satu renungan tentang azam seorang guru menghadapi sesi persekolahan 2026.

Tajuk forum itu mengingatkan azam, jika tidak disertai kesedaran dan tindakan konsisten, hanya akan kekal sebagai hasrat indah tetapi rapuh.

Dalam konteks pendidikan negara yang sedang melalui pelbagai penambahbaikan, azam guru wajar difahami bukan sekadar komitmen peribadi tetapi sebahagian daripada kesiapsiagaan sistem pendidikan secara menyeluruh.

Ia bermula dengan muhasabah profesional dengan sejauh manakah azam tersebut berlandaskan keperluan sebenar di bilik darjah? Guru perlu menilai pendekatan pengajaran tahun lalu, mengenal pasti cabaran murid dari segi kefahaman, motivasi, keyakinan diri dan sokongan emosi.

Amalan lama yang hanya diteruskan kerana ‘sudah biasa’ wajar diteliti semula. Azam yang lahir daripada refleksi profesional akan lebih tulen dan berdaya laksana.

Menjelang 2026, guru perlu lebih fleksibel dalam pedagogi, peka terhadap latar belakang sosioemosi murid dan bijak memanfaatkan teknologi secara beretika.

Digitalisasi pendidikan bukan menggantikan guru tetapi menyokong pengajaran dan pembelajaran.

Azam guru bukan untuk menguasai semua aplikasi tetapi membuat pilihan pedagogi tepat mengikut konteks murid dan objektif pembelajaran. Guru juga harus kekal sebagai pelajar sepanjang hayat untuk memperkukuh profesionalisme.

Azam yang bermakna diterjemahkan kepada tindakan konkrit melalui menyusun semula Rancangan Pengajaran Harian, menyediakan aktiviti pemulihan dan pengayaan serta merancang intervensi awal bagi murid berisiko tercicir.

Sasaran profesional kecil dan konsisten, seperti refleksi kendiri, perkongsian ilmu atau percubaan pendekatan baharu secara berperingkat, membantu membudayakan penambahbaikan berterusan.

Setiap azam guru memberi impak kepada kualiti pembelajaran murid, iklim sekolah dan keberkesanan sistem pendidikan. Sokongan pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan pembuat dasar amat penting agar azam guru direalisasikan secara mampan.

Kesiapsiagaan pendidikan bukan sekadar perubahan kurikulum atau digitalisasi tetapi guru yang diberikan masa, kepercayaan dan sokongan untuk bersedia secara intelektual, emosi mahupun profesional.-UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×