Kerajaan komited gubal RUU Pendanaan Politik

Kerajaan komited gubal RUU Pendanaan Politik

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan dan integriti dalam proses politik negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, kerajaan kini sedang meneliti cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik termasuk mengambil kira semua input yang diterima menerusi sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, golongan belia serta pihak berkepentingan lain.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan proses penggubalan undang-undang dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.

Katanya, setakat ini kajian awal berkaitan RUU berkenaan telah bermula sejak 2019 oleh PusatGovernans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), dengan pelbagai sesi libat urus diadakan, termasuk dua sesi pada 2022.

“Mulai Mei 2023, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengambil alih penyediaan draf RUU.

“Pada 8 September 2023, kerajaan memutuskan supaya skop dasar RUU dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai perkembangan cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan.

Menurutnya, setakat ini JKPK juga telah mengadakan tiga siri mesyuarat bagi meneliti parameter serta cadangan dasar berkaitan RUU berkenaan.

Tambahnya, kerajaan turut mengadakan 20 siri sesi libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat akar umbi, dengan 12 sesi daripadanya dijalankan di peringkat negeri.

“Sesi ini melibatkan seramai 1,544 peserta daripada pelbagai sektor termasuk pegawai kerajaan, parti politik, persatuan perniagaan, NGO, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan golongan belia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×