MELBOURNE: Carlos Alcaraz mempamerkan persembahan cemerlang untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia selepas mudah menewaskan Tommy Paul dari Amerika Syarikat (AS).
Juara enam kali Grand Slam itu menang 7-6 (8/6), 6-4, 7-5 dalam misinya memburu gelaran pertama di kejohanan tersebut.
Jika Alcaraz memenangi gelaran di Australia, dia akan menjadi pemain termuda dalam sejarah yang memenangi Grand Slam dengan keempat-empat kejohanan utama.
“Dia (Paul) bermula dengan sangat kuat, pukulan yang sangat kuat, agak sukar pada awalnya tapi saya tahu saya akan mendapat peluang saya.
“Secara keseluruhan, ia merupakan permainan tenis yang sangat tinggi dari kedua-dua pihak, saya sangat gembira kerana menang straight sets,” kata Alcaraz.

Bagi saingan wanita pula menyaksikan Aryna Sabalenka bakal berdepan Iva Jovic dalam suku akhir kejohanan selepas pemain No. 1 dunia itu menewaskan cabaran Victoria Mboko dari Kanada.
Sabalenka menang 6-1, 7-6 (7/1) dan dijangka berdepan tentangan sengit daripada Jovic selepas pemain berusia 18 tahun itu menguasai permainan ketika menewaskan Yulia Putintseva 6-0, 6-1.
“Betapa hebatnya seorang pemain pada usia yang begitu muda. Saya rasa saya masih seperti budak kecil! Dia memberi saya tentangan yang hebat hari ini (semalam) dan bermain tenis yang luar biasa,” kata Sabalenka mengenai Mboko. – AFP/UTUSAN










