BOURNEMOUTH: Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan faktor keletihan sebagai punca utama kegagalan pasukannya meraih mata selepas tewas dramatik 2-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, semalam.
Slot berkata, bebanan perlawanan yang tinggi memaksa Liverpool menurunkan kelompok pemain yang sama dalam beberapa aksi terakhir, sekali gus menjejaskan tahap kecergasan pasukan terutama pada penghujung perlawanan.
“Dalam lima hingga 10 perlawanan terakhir, kami terpaksa bergantung kepada pemain yang sama.
“Pada hujung perlawanan, jelas sebahagian daripada mereka keletihan dan perkara itu dapat dilihat hari ini,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Liverpool ketinggalan 0-2 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan penyamaan Virgil Van Dijk dan Dominik Szoboszlai.
Namun, jaringan saat akhir Amine Adli pada minit ke-95 memastikan Bournemouth melakar kemenangan sekaligus mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Slot turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil yang hanya memberikan empat minit masa tambahan.
“Pada akhirnya, ia tidak lagi penting kerana mereka menjaringkan gol, tetapi perlawanan seperti ini sepatutnya diberikan lebih masa tambahan,” katanya.
Kekalahan itu mencerminkan kemerosotan prestasi ketara juara bertahan yang kini sudah tewas tujuh perlawanan liga musim ini, jauh berbeza berbanding kempen cemerlang mereka ketika menjulang kejuaraan musim lalu. – AGENSI/UTUSAN










