Zelensky kecam EU berdiam diri isu perang Ukraine-Russia 

Zelensky kecam EU berdiam diri isu perang Ukraine-Russia 

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam Kesatuan Eropah (EU) kerana sikap berdiam diri blok itu dalam menentang Presiden Russia, Vladimir Putin dan turut mengkritik sebahagian sekutu utama Kyiv di Forum Ekonomi Dunia (WEF) semalam.

Ucapan kepada golongan elit Davos itu disampaikan beberapa minit selepas Zelensky bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam pertemuan yang menurutnya berjaya mencapai persetujuan mengenai bentuk jaminan keselamatan AS pascaperang untuk Ukraine.

Zelensky bagaimanapun tidak memperincikan kandungan jaminan tersebut, sekadar menyatakan ia sudah dimuktamadkan dan sedia untuk ditandatangani oleh para pemimpin serta diratifikasi oleh Parlimen Ukraine dan Kongres AS.

Namun, dalam perubahan ketara daripada retorik mesranya terhadap EU yang menjadi penyokong politik dan kewangan utama Kyiv, Zelensky mendakwa blok itu gagal mencapai persetujuan dalam menangani masalah global.

“Apa yang kurang, masa atau keazaman politik?. Terdapat pertikaian dalaman yang tidak berkesudahan dan perkara yang tidak diperkatakan yang menghalang Eropah daripada bersatu dan bercakap dengan cukup jujur untuk mencari penyelesaian sebenar.

“Daripada menjadi kuasa global yang sebenar, Eropah kekal sebagai kaleidoskop indah tetapi terpecah-pecah terdiri daripada kuasa kecil dan sederhana,” katanya.

Trump sebelum itu menyifatkan pertemuannya dengan Zelensky di pusat peranginan ski Switzerland sebagai baik, beberapa jam sebelum utusannya, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner dijadualkan tiba di Moscow untuk rundingan dengan Putin.

“Perang ini mesti ditamatkan,” kata Trump kepada wartawan apabila ditanya mengenai mesej yang ingin disampaikannya kepada pemimpin Russia itu.

Zelensky berkata, isu wilayah kekal sebagai satu-satunya perkara tertunggak dalam rundingan untuk menamatkan perang.

“Semuanya berkisar tentang bahagian timur negara kami. Ia soal tanah. Inilah isu yang belum kami selesaikan,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tuan rumah rundingan tiga pihak mengenai perang Ukraine pada Jumaat dan Sabtu, melibatkan perunding dari Ukraine, AS dan Russia.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×