PETALING JAYA: Penubuhan Konsulat Singapura di Kota Kinabalu, Sabah tahun ini merupakan langkah strategik mengukuhkan hubungan kedua-dua pihak serta memberi peluang pelaburan dan perdagangan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan itu mempunyai kepentingan strategik amat besar, merangkumi aspek utama seperti ekonomi, diplomasi, pelaburan, perdagangan dan keselamatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin ia akan memperluas kerjasama, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.
Hajiji mengundang pelabur dari Singapura meneroka sektor kompetitif di Sabah dan menggalakkan lebih ramai pelancong dari republik itu.
“Ia (pembukaan konsulat) adalah perkembangan positif yang akan memperkukuh hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di pejabatnya di Menara Kinabalu, semalam.
Pada pertemuan itu, Menon mengesahkan Singapura akan membuka konsulat di Sabah dan Sarawak susulan kelulusan daripada Kerajaan Malaysia bulan lalu. – UTUSAN










