Enam sekeluarga rayu rumah baharu lebih selamat

Enam sekeluarga rayu rumah baharu lebih selamat

HASSAN Hashim (kanan) dan Hayati Mohamad (tiga dari kiri) bersama empat anak mereka di hadapan rumah mereka di Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Enam sekeluarga merayu bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat sebagai tempat tinggal berbanding rumah usang yang didiami mereka ketika ini.

Rumah yang terletak di Kampung Belakang Kilang Padi, Lorong Malinja, Jalan Sungai Nibong di sini telah didiami mereka sejak 25 tahun namun keadaan atap zink kini berkarat dan bocor serta lantai yang reput.

Hayati Mohamed, 40, berkata, rumah itu didiaminya bersama suami, Hassan Hashim, 64, serta empat anak mereka berusia lapan hingga 20 tahun.

Katanya, kediaman tersebut merupakan rumah pusaka keluarga namun tanah tapaknya adalah milik orang lain sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya pemilik tanah menuntut semula kawasan berkenaan.

“Jika pemilik tanah mahu mengambil semula tanah ini, kami tidak ada tempat lain untuk berteduh. Rumah ini pula sudah terlalu uzur dan bimbang runtuh bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Hayati, dia bekerja sebagai pembantu di sebuah kiosk bagi menyara keluarga memandangkan suaminya yang sudah lanjut usia dan tidak lagi mampu melakukan kerja berat.

“Saya memperoleh upah sekitar RM20 hingga RM30 sehari dari pagi hingga petang dan wang itulah digunakan untuk perbelanjaan harian serta persekolahan anak kami,” katanya.

Tambahnya, mereka sekeluarga terpaksa terus tinggal di rumah berkenaan walaupun dalam keadaan serba kekura­ngan kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih selesa di tempat lain.

Katanya, keadaan rumah menjadi lebih teruk ketika hujan apabila atap bocor menyebabkan air masuk dan membasahi tilam serta kain selimut.

“Apabila hujan pada waktu malam, kami tidak dapat tidur lena kerana air menitis dan rumah menjadi basah,” ujarnya.

Hayati berkata, anak sulungnya, Danial Ikhwan Fadli Hassan, 20, melakukan kerja-kerja kampung bagi membantu keluarga namun sering mengalami sesak nafas akibat menghidap asma dan tidak mampu melakukan kerja berat seperti orang lain.

“Kalau boleh kami amat berharap dapat rumah baharu yang lebih selesa dan selamat demi masa depan anak-anak,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×