MCMC rakam keterangan Ketua Editor, Pengarang China Press

MCMC rakam keterangan Ketua Editor, Pengarang China Press

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang dalam talian terbitan China Press berhubung kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.

MCMC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan yang disiarkan melalui akaun rasmi China Press di platform media dalam talian dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, kandungan terbabit didakwa mengandungi maklumat palsu berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, khususnya berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Penelitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional.

“Beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Titah Yang di-Pertuan Agong serta perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“МСМС memandang serius sebarang penerbitan melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong dan perkara berkaitan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti dan mematuhi prinsip kewartawanan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×