Fokus baharu pelancongan Perlis diperkenalkan

Fokus baharu pelancongan Perlis diperkenalkan

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail menyempurnakan majlis pelancaran TMPs 2024/2026 dan Kalendar Acara Pelancongan Perlis 2026 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam. - UTUSAN/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 diberi nafas baharu dengan beberapa fokus diperkenal dan diberikan tumpuan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, antara pembaharuan yang diperkenalkan itu meliputi pelancongan pengembaraan dan alam semula jadi, pelancongan agro dan gastronomi, santai dan relaksasi, destinasi ketenangan jiwa dan keindahan alam serta pelancongan membeli-belah dan warisan budaya.

Beliau yakin, melalui usaha berterusan selain kempen dan promosi lebih agresif melalui liputan media, pemasaran dan penggunaan platform digital itu, sasaran lima juta pelancong ke negeri ini pada 2026 akan berjaya dicapai.

“Kerajaan negeri telah mengumumkan lanjutan TMPs pada tahun ini yang selaras dengan agenda pelancongan negara melalui pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dalam usaha mempromosikan pelancongan dan warisan Perlis ini, adalah menjadi harapan agar seluruh rakyat negeri ini turut memainkan peranan menjadi duta pelancongan tempatan. Tunjuklah sikap mesra dan ramah terhadap pelancong dan bantulah mereka jika perlu. 

“Rakyat Perlis juga diharap mengambil peluang untuk berkongsi keunikan negeri yang ada melalui media sosial masing-masing. Ketengahkan keunikan budaya warisan negeri yang ada supaya Perlis terus dikenali di mata umum,” katanya pada majlis pelancaran TMPs 2024/2026 dan Kalendar Acara Pelancongan Perlis 2026 di Dewan Warisan di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Abu Bakar memberitahu, antara acara besar yang bakal berlangsung pada tahun ini adalah seperti Pesta Sauk Sotong Perlis 2026 pada 24 hingga 25 Januari ini dan Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 pada 30 Januari sehingga 1 Februari depan.

Katanya, Pesta Angin Timur Perlis 2026 pula akan berlangsung pada 6 hingga 8 Februari.

“Antara acara lain seperti Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis (4-6 September), Festival Rakyat 3.0 dan Citrawarna (22 -24 Mei) dan banyak lagi program yang telah diatur.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan produk pelancongan secara maya pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Virtual Reality (VR). Ini merupakan hasil inisiatif oleh G Plus Group Of Companies,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN