PETALING JAYA: Seramai 20 pegawai imigresen dibuang kerja setelah didapati terlibat kes berkaitan pasport terbang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah mengenakan tindakan tatatertib terhadap 41 pegawainya selepas didapati terbabit dalam kes itu dalam tempoh empat tahun ini selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Katanya, Jabatan Imigresen mengambil maklum kenyataan media dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Isnin lalu berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Jabatan Imigresen menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan.
“Sehubungan itu, kita sudah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah ini mencerminkan pendirian tegas jabatan bahawa sebarang salah laku, khususnya yang membabitkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi.
“Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Zakaria berkata, setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.
“Bagi tahun 2025, 61 kes dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terbabit dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik,”ujarnya.
Tambahnya, JIM terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.
“Ia bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN










