Tindakan tegas jual tapak bazar pada orang tengah

Tindakan tegas jual tapak bazar pada orang tengah

MASRI Baharuddin (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Wisma MBS, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan terhadap penganjur dan memper­kenalkan syarat tambahan akan diambil Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sekiranya tapak niaga bazar Ramadan dan Aidilfitri tidak diserahkan terus kepada peniaga sebenar.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, langkah itu bagi memastikan tapak niaga itu tidak dijual kepada orang tengah yang mengambil kesempatan me­raih keuntungan.

Katanya, penjualan tapak perniagaan dinyatakan de­ngan jelas dalam surat tawaran dikeluarkan dan penganjur diwajibkan menjualnya mengikut kadar harga ditetapkan serta memastikan tapak tersebut diberikan kepada peniaga yang benar-benar berniaga.

“Kalau dijual kepada pihak ketiga, tanggungjawab tetap terletak pada penganjur untuk memastikan tapak itu tidak dijual semula kepada orang tengah,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MBS, di sini semalam.

Bagi penganjuran tahun ini, kelonggaran diberikan dengan menyerahkan pengurusan tapak kepada penganjur tetapi mereka diwajibkan mengeluarkan resit sekiranya tapak dijual semula.

“Peniaga perlu memba­wa resit sebagai bukti. Jika harga dalam resit melebihi kadar ditetapkan, contoh­nya RM4,000 berbanding RM3,500, tindakan boleh diambil terhadap penganjur,” katanya.

Mengulas hantaran tular di media sosial dakwaan harga tapak perniagaan bazar Aidilfitri di Dataran Senawang, Se­remban mencecah RM14,000 sekali gus menindas peniaga kecil, Masri berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan sekiranya pengadu membuat aduan beserta bukti kukuh termasuk resit pembayaran yang menunjukkan caj melebihi kadar dipersetujui.

Beliau menasihati orang ramai usah membuat tuduhan tidak berasas kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×