KUALA LUMPUR: Pas bersedia menyertai Kolaborasi Agung untuk terus memperjuangkan penyatuan orang Melayu sebagai strategi utama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan syarat tanpa penyertaan DAP.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas konsisten sejak dahulu sehingga hari ini untuk menyatukan Melayu malah menyifatkan ia jalan terbaik dalam demi masa dan kestabilan negara ini.
Maka sebab itu katanya, Pas mengajak UMNO dari dulu bersama dengan mereka membentuk kerajaan bagi menjamin kestabilan politik.
“Hari ini UMNO bercakap duduk dalam kerajaan kerana nak meraikan kestabilan, kenapa kamu tidak bersama kami dulu? Cukup sahaja bilangan dengan kami dalam Perikatan Nasional, ditambah dengan Sabah dan Sarawak untuk tubuh kerajaan.
“Kita memang nakkan penyatuan dan ini adalah kekuatan orang Melayu, mesti bersatu dan kuat baru yang lain-lain ini akan hormat kepada kita.
“Nak cakap payung besar, rumah besarlah, kita mesti bergerak tanpa DAP, itu kita punya garis merah. Dulu kita ada pengalaman, mereka kata dulu boleh kerjasama, sekarang tidak boleh, kenapa?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, UMNO bercadang untuk membentuk grand collaboration atau Kolaborasi Agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini.
Cadangan membentuk satu kerangka gabungan lebih besar itu disuarakan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Idris berkata, Pas tidak bersetuju untuk menyertai Kolaborasi Agung jika cadangan itu hanya ingin menyelamatkan Pakatan Harapan (PH) meskipun ia bertujuan menyatukan parti-parti Melayu.
Katanya, tidak dinafikan cadangan itu dilihat baik untuk menyatukan orang Melayu, namun agendanya dikatakan tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan sukar untuk dipersetujui kerana masih membabitkan DAP.
Katanya, cadangan itu dijangka tidak mencapai matlamat berikutan syarat yang diletakkan menjadi kekangan buat Pas untuk bersetuju
“Saya percaya hanya penyatuan Melayu mampu selamatkan keadaan, tetapi kalau UMNO masih buat keputusan tidak mahu jejaskan kerajaan perpaduan, no point lah (tidak ada makna).
“Sudah tentu mereka ingin Pas dan PN menyertai rumah bangsa kerana secara tidak langsungnya sokong PH, Kami bukan bodoh,” katanya.











