PETALING JAYA: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Shah Alam yang kini tular selepas dikaitkan dengan penderaan terhadap kanak-kanak austime, bukan operator yang dibiayai Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semalam Timbalan Ketua Pengarah Mara telah melaporkan pendedahan tersebut kepadanya namun hanya dua operator di bawah syarikat tersebut mendapat bantuan pembiayaan daripada Mara iaitu di Klang dan Bestari Jaya.
“Terima kasih maklumkan pada saya, tadi Timbalan Ketua Pengarah Mara sudah bagi laporan kepada saya mengenainya. Taska ini adalah syarikat yang mendapat pembiayaan Mara untuk pendidikan awal kanak-kanak.
“Setakat ini, ada dua premis itu yang Mara bantu membiayai iaitu di Klang dan Bestari Jaya. Kejadian yang berlaku di Kota Kemuning bukan membabitkan operator di bawah pembiayaan Mara,” katanya menerusi ruangan komen di Instagram Munafik Hunter.
Beliau memberikan respons sedemikian susulan pendedahan pempengaruh, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli menerusi akaun Munafik Hunter di Instagram dengan memuatnaik klip video dikatakan penderaan kanak-kanak dipercayai berlaku di dua premis taska berasingan.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sudah mengarahkan pengurusan Mara menjalankan siasatan penuh sambil menegaskan berhubung pendedahan tersebut kerana tidak mahu membiayai atau berkolaborasi dengan institusi dengan rekod buruk.
“Walaubagaimanapun, saya minta pengurusan Mara buat siasatan sepenuhnya kerana saya tidak mahu Mara membiayai dn berkolaborasi dengan institusi yang punya rekod tidak menjada kualiti Pendidikan apatah lagi terkait dengan soal melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta ibu bapa yang mempunyai pengalaman dengan pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak di bawah jenama syarikat tersebut untuk berkongsinya supaya pengurusan Mara perhalusi dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Caprice berkongsikan dua video dengan video pertama yang didakwa dikongsi pelatih di sebuah taska di Shah Alam, seorang kanak-kanak autisme dikatakan dikurung dalam stor keadaan menangis teresak-esak.
Caprice turut memuat naik satu lagi video memaparkan bayi dibiarkan menangis teresak-esak sambil pekerja pusat asuhan itu memaksa minum susu. – UTUSAN










