KUALA LUMPUR: Tunggakan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), RM5.13 bilion boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh sektor pendidikan negara khususnya pembangunan bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, dana tersebut boleh diguna untuk meningkatkan keupayaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam menyediakan pendidikan berteraskan keperluan industri masa hadapan serta kehendak pasaran global.
Katanya, wang tersebut boleh digunakan untuk menambahbaik subjek-subjek baharu dan kritikal secara menyeluruh termasuk melalui pemberian geran serta penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih lengkap di IPTA dan IPTS di seluruh negara.
“Bayaran balik RM5.13 bilion ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pendidikan negara khususnya dengan memberi tumpuan kepada sektor-sektor baharu dan terkini seperti AI dan lain-lain.
“Pelaburan dalam sektor berkenaan bukan sahaja meningkatkan daya saing institusi pendidikan, malah memperluas akses pelajar kepada bidang strategik masa depan.
“Dengan pembiayaan ini, lebih ramai warganegara Malaysia akan berpeluang untuk meneruskan pengajian dalam sektor-sektor kritikal yang kini semakin mendapat perhatian dan tempat di peringkat global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin akhbar melaporkan, seramai 361,384 peminjam melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM5.13 bilion tidak pernah membuat sebarang bayaran balik kepada PTPTN.
Jumlah itu boleh menampung pembiayaan untuk tempoh dua tahun sekali gus memberi kesan langsung terhadap dana pinjaman pendidikan negara.
Sementara itu, Pakar Ekonomi, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kegagalan sejumlah besar peminjam itu, boleh menjejaskan kestabilan kewangan PTPTN sebagai badan pembiaya pendidikan negara.
Keadaan tersebut turut memberi kesan kepada aliran kewangan dalaman PTPTN sekali gus mengehadkan keupayaan institusi itu untuk menyalurkan pinjaman baharu kepada pelajar yang memerlukan.
“Kegagalan 361,384 peminjam membuat bayaran balik, beri kesan langsung kepada kelestarian dana pendidikan kerana PTPTN beroperasi berasaskan kitaran pinjaman dan bayaran balik.
“Bila jumlah besar tidak kembali ke dalam sistem, aliran tunai PTPTN jadi tidak stabil dan menjejaskan keupayaan badan itu membiayai generasi pelajar seterusnya,” katanya.
Keseluruhan sistem pembiayaan pendidikan negara dikhuatiri terjejas sekiranya masalah ini tidak segera diatasi. – UTUSAN










