Cuaca panas, ‘belat’ jejas hasil nelayan darat

Cuaca panas, ‘belat’ jejas hasil nelayan darat

NELAYAN menunjukkan keadaan air sungai yang cetek berikutan cuaca panas di jeti Kampung Sungai Kerawai di Teluk Intan, Perak – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Nelayan darat di Sungai Kerawai di sini terjejas pendapatan berikutan cuaca panas sejak lebih sebulan lalu.

Pengerusi MyKomuniti Per­ikanan Kampung Sungai Ke­rawai, Mohamad Suhaimi Matsukot berkata, cuaca panas menyebabkan sumber ikan sungai semakin berkurangan.

Katanya, selain faktor cuaca, tangkapan nelayan juga berkurangan disebabkan penggunaan sejenis alat memerangkap ikan dikenali ‘belat’ yang semakin berleluasa di sungai tersebut.

Menurutnya, belat dipasang oleh nelayan luar itu telah memberi kesan terhadap pendapatan nelayan.

“Belat memerangkap semua jenis saiz ikan termasuk anak ikan. Namun mereka yang memasang belat hanya mengambil ikan besar yang memasuki perangkap belat manakala ikan bersaiz kecil dibiarkan begitu sahaja.

“Inilah yang mengurangkan jumlah ikan di sungai ini sedang­kan di sini setiap tahun diadakan program melepaskan benih ikan yang sepatutnya sungai ini mempunyai banyak ikan namun sebaliknya pula.

“Cuaca panas ketika ini menjejaskan lagi jumlah tangkapan nelayan yang saya anggarkan berkurangan 50 peratus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, terdapat kira-kira 35 nelayan darat di kampung itu yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan di sungai.

Katanya, cuaca panas menyebabkan air cetek dan menyukarkan nelayan untuk bergerak kerana bot tersangkut di kawasan yang cetek.

“Disebabkan kawasan ini ikan berkurangan, nelayan cuba menangkap ikan di tempat lain namun sukar untuk kami ke kawasan lain kerana bot sering tersangkut di kawasan yang cetek disebabkan paras air sungai semakin cetek ketika ini.

“Kami terpaksa menunggu sehingga air pasang untuk bot bergerak dan ini sudah tentu menyukarkan kami,” katanya.

Menurutnya, Sungai Kerawai berpotensi dikembangkan sebagai kawasan ekopelancongan khusus untuk kaki pancing kerana sungai tersebut terkenal dengan pelbagai jenis ikan seperti lampam, baung, jelawat, sebarau dan udang galah.

“Namun disebabkan air cetek, pemancing sukar untuk memancing di sungai ini selain ancaman daripada nelayan luar yang memasang belat di sini.

“Kami berharap cuaca kembali normal supaya paras air sungai meningkat bagi memudahkan pergerakan bot. Ini bukan sahaja untuk memudahkan nelayan menangkap ikan tetapi juga untuk pemancing datang memancing di sini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×