Tiga tahun menanti, bayi sulung kini bertarung nyawa

Tiga tahun menanti, bayi sulung kini bertarung nyawa

NURUL Najwa Nabila dan suaminya, Mohd. Azamirrizan Udin bersama Nayla Ameena ketika masih sihat di Felda Lepar Hilir 1 di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penantian hampir tiga tahun untuk menimang cahaya mata bertukar menjadi dugaan paling berat buat pasangan suami isteri di Felda Lepar Hilir 1 di sini.

Ia apabila anak sulung mereka yang berusia dua bulan disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair di dalam otak yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.

Nurul Najwa Nabila, 24, berkata, ketika rambut anak­nya, Nayla Ameena Mohd. Azamirrizan dicukur pada 4 Januari lalu, urat di bahagian kepala bayi tersebut kelihatan jelas dan ubun-ubunnya semakin meninggi selepas itu.

Katanya, bayinya itu turut menunjukkan simptom lain termasuk muntah setiap kali menyusu, menangis tanpa henti dan muntah memancut.

Tambahnya, perasaan tidak sedap hati seorang ibu mendorongnya membuat ca­rian di internet tentang simptom itu.

“Apabila saya buat carian, keluar simptom hydrocephalus dan hampir semuanya ada pada Nayla Ameena. Dia dirujuk ke hospital dan hasil imbasan CT mengesahkan ada cecair dalam kepala dan sudah menutup sel otaknya.

“Selepas pembedahan, cecair semakin kurang dan kepalanya kembali lekuk kerana tempurung bayi belum terbentuk sepenuhnya.

“Kalau cecair tak naik tinggi, doktor akan cabut tiub sementara dan dia mungkin tak perlu pakai alat bagi mengalirkan cecair berlebihan dari otak. Keputusan akan diketahui selepas imbasan CT kali ketiga,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×