PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menyiasat kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu dijalankan susulan aduan rasmi yang diterima daripada orang awam berkaitan kandungan berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan aduan rasmi yang diterima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Fahmi, peruntukan undang-undang tersebut berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian masyarakat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu merupakan isu berasingan.
“Sekiranya terdapat laporan polis dibuat, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menggesa Majlis Media Malaysia memainkan peranan sebagai badan bebas dalam memastikan pematuhan etika kewartawanan serta menggalakkan pelaporan yang tepat dan bertanggungjawab.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen melampau atau berunsur fitnah serta menghormati institusi Raja,” katanya. – UTUSAN










