PEKAN: Derita seorang bekas pengawal keselamatan dari Kampung Serambi di sini, tiada penghujung apabila dia kini terlantar sejak empat bulan lalu akibat komplikasi diabetes kronik yang meragut seluruh kudratnya.
Bapa kepada empat anak yang masih kecil itu, Ishamrizull Ismail, 47, bukan sahaja hilang upaya untuk bangun, berjalan dan menguruskan diri malah terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu bagi menggantikan fungsi buah pinggang yang gagal.
Lebih memeritkan, isterinya, Sarwina Abdul Rahman, 44, terpaksa berhenti kerja demi menjaganya sepenuh masa dan menguruskan keluarga.
Sarwina berkata, keadaan kesihatan Ishamrizull merosot dengan ketara selepas buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik sehingga memerlukan rawatan hemodialisis selama empat jam, iaitu tiga kali seminggu.
“Sejak empat bulan lalu, dia tidak lagi mampu menguruskan diri. Untuk bangun, mandi, makan, memakai lampin pakai buang dan semuanya perlu dibantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sarwina berkata, suaminya memerlukan peralatan sokongan seperti kerusi roda elektrik, katil kejururawatan, tongkat dan keperluan harian termasuk lampin pakai buang, tisu basah dan ubat-ubatan.
Namun, katanya, kos rawatan yang mencecah lebih RM2,400 sebulan untuk dialisis di pusat swasta akibat hospital kerajaan penuh menambah beban keluarga ekoran tiada punca pendapatan.
“Kos membuat fistula di tangan sahaja menelan belanja besar. Doktor juga sarankan rawatan mata untuk menyelamatkan baki penglihatan suami. Sebelum ini, suami pencari nafkah utama. Saya hanya pembantu kerani di swasta. Sekarang saya tidak bekerja kerana perlu berada di rumah menjaganya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi 0165157303 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7612594765 atas nama Ishamrizull Ismail.-UTUSAN










