BESUT: Meskipun hampir gulung tikar, ia tidak mematahkan semangat seorang pemuda dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut di sini meneruskan pembuatan manisan kerek atau ‘nisan kerek’ yang diwarisi keluarganya.
Mohd. Naim Mat Rahim, 34, berkata, dia menceburi bidang itu sejak lapan tahun lalu dan diuji dengan kegagalan sehingga terpaksa menanggung kerugian RM50,000 meskipun baru setahun berniaga.
Katanya, tanpa pengalaman dan ilmu dalam perniagaan, dia hampir hilang arah sebelum kembali bangkit membangunkan kembali perniagaan nisan kerek yang diwarisi daripada bapanya, Mat Rahim Hamzah, 65.
“Saya pernah menjalankan pelbagai perniagaan dan kebanyakannya berakhir sia-sia yang mana saya juga pernah berniaga ikan namun hanya bertahan dua minggu.
“Menyedari ia bukan perkara mudah, saya mula mengambil alih perniagaan ayah dan pada awalnya berjalan lancar tetapi disebabkan faktor pengurusan tidak sempurna menyebabkan terpaksa menanggung hutang,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Saboh.
Menurut Mohd. Naim, usahanya membangunkan semula perniagaan itu membuahkan hasil apabila kini dia mempunyai dua buah kilang menghasilkan manisan yang terletak di Kuala Besut.
Dia masih mengekalkan pembuatan manisan secara manual yang memerlukan kemahiran khas untuk menghasilkan nisan berkualiti tinggi.
Katanya, dengan menghasilkan nisan kerek, dia mampu meraih jualan lebih RM200,000 sebulan dan meluaskan perniagaannya ke seluruh negara.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, nisan kerek keluarannya mempunyai peminatnya tersendiri malah ia mendapat permintaan tinggi.
“Walaupun hanya usahawan tempatan berskala kecil, saya boleh melangkah lebih jauh apabila nisan kerek yang diusahakan telah menembusi pasaran tempatan dan ditempatkan di 90 pasar raya di seluruh negara
.“Nisan ini bukan hanya dibuat dalam bentuk kerek sahaja malahan saya mempelbagaikan saiznya termasuk nisan hancur, nisan kiub dan nisan onde-onde,” katanya.-UTUSAN.










