PETALING JAYA: CIMB memperkukuh perlindungan pelanggan dengan memperkenalkan ciri pengesahan biometrik baharu pada aplikasi CIMB OCTO, sebagai langkah proaktif menambah lapisan keselamatan bagi transaksi perbankan digital.
Bank berkata, ciri terbaharu tersebut digabungkan dengan fungsi kelulusan SecureTAC iaitu pelanggan perlu melalui pengesahan biometrik seperti Face ID bagi peranti iOS atau cap jari, selepas meluluskan transaksi melalui SecureTAC.
“Langkah mudah ini menambah satu lagi lapisan keselamatan bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman transaksi yang lebih selamat dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, apabila pelanggan membuat transaksi, notifikasi SecureTAC akan dihantar ke peranti yang mempunyai aplikasi CIMB OCTO yang telah diaktifkan.
“Selepas pelanggan mengesahkan butiran transaksi dan memilih untuk meluluskan atau menolak, sistem akan meminta pengesahan identiti menggunakan biometrik atau kata laluan sebelum transaksi disempurnakan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, CIMB berkata, pengenalan pengesahan biometrik itu selaras dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkukuh keselamatan perbankan dalam talian, khususnya dalam usaha membanteras penipuan kewangan dan transaksi tidak dibenarkan.
“Ciri ini berfungsi sebagai lapisan keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko transaksi tanpa kebenaran, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan perbankan digital,” katanya.
Pengenalan ciri baharu itu melengkapkan langkah keselamatan sedia ada dalam aplikasi CIMB OCTO, termasuk fungsi SecureTAC, ciri Lock Clicks ID, penggunaan satu peranti berdaftar sahaja bagi CIMB OCTO serta proses e-KYC untuk log masuk kali pertama.
Dalam pada itu, CIMB menasihatkan pelanggan supaya sentiasa memastikan sistem operasi peranti dan aplikasi CIMB OCTO dikemas kini ke versi terkini, selain memuat turun aplikasi hanya daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
“Pelanggan yang menukar peranti juga dinasihatkan untuk membuang pendaftaran peranti lama sebelum melakukan log masuk kali pertama pada peranti baharu,” katanya.
CIMB turut mengingatkan pelanggan agar sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat perbankan dalam talian mereka.
Pelanggan yang mengesan sebarang aktiviti atau transaksi mencurigakan dinasihatkan untuk segera mengaktifkan ciri Lock Clicks ID, menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan CIMB serta menukar kata laluan atau PIN akaun masing-masing. – UTUSAN










