Tapak Baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman siap - Hannah

Tapak Baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman siap – Hannah

HANNAH Yeoh (kanan) berbincang bersama pegawai dan agensi berkaitan bagi menyelaras pelaksanaan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah siap dan proses pemindahan sedang diselaraskan di peringkat operasi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, penyelarasan itu melibatkan semua agensi berkaitan dan bakal dibentang dalam satu mesyuarat pada hari ini.

Beliau berkata, proses pemindahan serta pembangunan tapak baharu tersebut dilaksanakan secara terancang, berlandaskan undang-undang dan mengambil kira keharmonian antara agama.

“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, kerajaan telah mempercepatkan semua kelulusan berkaitan termasuk kelulusan pelan bangunan dan penggazetan tapak baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hannah, kelulusan pelan bangunan telah diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada pihak kuil pada 17 September 2025.

Pada 5 Disember tahun yang sama, tapak kuil baharu berkenaan telah digazetkan secara rasmi sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam.

Katanya, kebenaran membina bangunan di atas tanah tersebut pula telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) pada 14 Januari lalu.

Hannah berkata, kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak berkepentingan, khususnya selepas sambutan Perayaan Thaipusam bagi memastikan pelaksanaan pemindahan dan pembinaan berjalan dengan teratur serta dalam suasana saling menghormati.

“Pendekatan ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, selain kesediaan mendahulukan kepentingan bersama selaras dengan prinsip mengasihi sesama insan seperti diri sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×