PETALING JAYA: Polis menyiasat satu rakaman secara langsung membabitkan seorang usahawan komestik dan rakannya dipercayai transgender kerana melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki bawah umur.
Siasatan dilakukan apabila rakaman di akaun Instagram milik usahawan berkenaan tular.
Rakaman tersebut antaranya menunjukkan `pasangan’ tersebut berpakaian tidak senonoh selain menghisap rokok elektronik vape di hadapan dua kanak-kanak dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima rakaman tersebut dan sedang mengenal pasti pemilik akaun terlibat.
Kata beliau, siasatan menyeluruh akan dilakukan termasuk memanggil semua individu yang ada di dalam rakaman.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 15 (a) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau ‘child grooming’,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, seorang pemilik Facebook dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi memuat satu hantaran mengenai isu tular di laman sosial Twitter berkenaan rakaman ‘live’ usahawan kosmetik terbabit bersama rakannya.
Dalam hantaran tersebut, pemilik Facebook itu mempersoalkan tindakan usahawan dan rakannya itu yang berpakaian tidak senonoh selain melakukan adegan ‘panas’ terhadap dua kanak-kanak lelaki yang turut serta dalam `live’ tersebut.
Pemilik Facebook berkenaan juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu. – UTUSAN











