PENDANG: Tiada yang paling menggembirakan buat sepasang suami isteri apabila anak kesayangan mereka yang menghidap kanser akan menjalani pemindahan hati di Shanghai, China dengan kos RM185,000.
Dana untuk membiayai pembedahan Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, yang kisahnya tersiar di akhbar ini pada Disember lepas kini mencukupi hasil kutipan dermawan sekali gus memberi harapan kepada keluarganya.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Syatirah Zairenor, 31, yang juga penderma hati untuk anaknya berkata, dia dan suami, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, serta seorang wakil sukarelawan akan mengiringi Muhammad Arash ke negara tersebut pada 21 Januari ini.
“Alhamdulillah dana untuk Arash sudah mencukupi dengan kutipan RM212,106.75. Insya-Allah kami akan berangkat ke China pada 21 Januari ini untuk pemindahan hati Arash di Hospital Renji, Shanghai.
“Kami amat berterima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan ini. Terima kasih kepada yang membantu perjuangan kami termasuk akhbar ini. Doakan agar semua berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Nor Syatirah yang menetap di Pendang, mereka sekeluarga menaruh harapan tinggi agar anak kedua itu pulih dan menjalani kehidupan seperti sedia kala.
“Besar harapan kami supaya pembedahan ini berjaya dan kami nak tengok Arash hidup sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Tambahnya, mereka akan berada di hospital berkenaan sekurang-kurangnya 25 hari bagi pembedahan dan rawatan susulan Muhammad Arash.
Akhbar ini pada 31 Disember tahun lepas menyiarkan penderitaan kanak-kanak tersebut akibat penyakit kanser yang menyebabkan kerosakan hatinya, Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH). – UTUSAN










