MENURUT Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), punca utama graduan tidak bekerja bukan disebabkan bentuk program di universiti, tetapi lebih kepada sikap graduan yang agak memilih pekerjaan.
Jika dirujuk kepada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) 2023, didapati terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.
Berdasarkan data tersebut, didapati jumlah penghasilan graduan boleh memenuhi kekosongan jawatan yang ada.
Berdasarkan kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia, graduan juga berdepan dengan isu ketidaksepadanan pekerjaan iaitu bekerja dalam bidang pekerjaan di bawah kelayakan mereka.
Perkara ini berlaku disebabkan banyak faktor, seperti graduan begitu memerlukan pekerjaan tanpa memikirkan tahap kelayakan yang dimiliki.
Dari sudut majikan ataupun pihak industri, kebanyakan mereka lazimnya akan memilih pekerja yang menepati misi dan visi syarikat masing-masing. Oleh itu, pemilihan graduan sudah tentu perlu memenuhi kehendak syarikat dan persaingan global.
Graduan kini perlu menyediakan diri mereka dengan soft skill yang terkini. Tanggungjawab ini bukanlah perlu diletakkan semata-mata di atas bahu universiti, tetapi pelajar mestilah memulakan inisiatif untuk meningkatkan kompetensi diri agar mampu bersaing di pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Contohnya, kemahiran bertutur dwibahasa memberikan kelebihan kepada pelajar dalam meletakkan diri di syarikat global di Malaysia, yang rata-rata menggunakan komunikasi dan medium pengurusan operasi bukan dalam bahasa Melayu.
Selain itu, kemahiran dalam menganalisa data, teknologi digital dan kelebihan mempunyai sijil-sijil professional boleh memberikan nilai tambah dalam kebolehpasaran seorang graduan.
Dari sudut universiti pula, untuk menegaskan faktor kekurangan peluang pekerjaan graduan lepasan universiti awam berpunca dari isu program-program yang disediakan, adalah satu pandangan yang perlu diperhalusi. Ia memerlukan perincian data yang tepat.
Jika ditinjau kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), didapati kadar kebolehpasaran graduan adalah melebihi 99 peratus pada 2024.
Usaha meningkatkan kebolehpasaran para graduan melalui pemfokusan bidang pertahanan dan keselamatan, telah diketengahkan melalui beberapa strategi.
Antaranya, mengadakan bengkel karier. Di sini para pensyarah di setiap fakulti dan pusat dilatih untuk membimbing para pelajar agar dapat menjelaskan hala tuju kerjaya masing-masing dalam bidang keselamatan dan pertahanan di masa depan.
Untuk mengukuhkan kefahaman dalam kerjaya tersebut, pihak universiti juga telah menganjurkan Festival Kerjaya bagi mendedahkan para graduan ke arah peluang pekerjaan, melalui pemilihan latihan industri di organisasi yang bertunjangkan bidang pertahanan dan keselamatan, seperti Kementerian Pertahanan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Penubuhan Kelab Pembangunan Kerjaya Pelajar dan Fakulti Duta Kerjaya pula bertujuan membimbing corak pemikiran strategik dalam kalangan pelajar bagi membangunkan kerjaya masing-masing.
Keberkesanan model strategik pendidikan di UPNM yang berasaskan akademik, ketenteraan dan pendekatan kepimpinan berteraskan disiplin telah membuktikan bahawa program-program di universiti mampu meningkatkan kebolehpasaran para graduannya.
Oleh itu, mana-mana pandangan yang dilontar tanpa berteraskan fakta, sukar untuk diangkat sebagai “kayu ukur” dalam menilai program di universiti awam. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. WAN NORHASNIAH WAN HUSIN & DR. NUR SURAYYA MOHD SAUDI
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia










