Pearly-Thinaah tidak cukup agresif

Pearly-Thinaah tidak cukup agresif

Pearly Tan-M. Thinaah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Corak permainan pantas dan agresif telah memerangkap beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang ditimpa kekalahan ketiga berturut-turut kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, semalam.

Gandingan No. 2 dunia itu tunduk menerusi kekalahan straight set di tangan beregu No. 6 dunia tersebut 16-21, 13-21 dalam masa 46 minit pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India.

Thinaah berkata, dalam perlawanan itu, pihak lawan benar-benar memberi tekanan menerusi serangan mereka.

“Jadi, saya rasa bahagian pertahanan di pihak kami tidak begitu mantap. Kekurangan ini adalah sesuatu yang perlu kami ambil perhatikan dan juga lebih berwaspada, terutamanya apabila lawan bermain dengan rentak yang lebih pantas,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya sama ada faktor angin turut mengganggu permainan, Thinaah menjelaskan, dia tidak berasakan masalah tersebut memberi kesan yang terlalu banyak kepada persembahan mereka.

“Ia bukanlah isu besar untuk keadaan di sini, angin tidak begitu menjejaskan pun permainan kami,” ujarnya.

Mengulas beberapa kekalahan menimpa mereka di tangan beregu sama, Thinaah berkata, pukulan dia dan Pearly perlu segera diperbaiki bagi membantu prestasi yang lebih mantap di samping keserasian dan komunikasi juga perlu dilakukan sesuatu.

Gandingan Jepun tersebut adalah beregu yang mengecewakan Pearly-Thinaah di peringkat kumpulan dan separuh akhir pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, Disember lalu.

Dengan kekalahan di India, ini bermakna Pearly-Thinaah ditimpa tiga kekalahan berturut-turut kepada Fukushima-Matsumoto dan rekod pertemuan kedua-dua beregu yang masih berpihak kepada wakil negara itu juga semakin rapat menjadi 5-4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×