SETIU: Derapan kaki tua menjelajah sepanjang pesisir pantai seusai subuh menjadi rutin seorang warga emas dari Kampung Penarik di sini, mencari botol buangan demi cintanya terhadap alam semula jadi.
Tengku Mohd. Ali Tengku Mansor, 81, atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Tokki’ sanggup berjalan berbelas kilometer antara tiga ke empat jam mengutip botol yang dihanyutkan ombak ke pesisir pantai.
Rutin itu bermula 20 tahun lalu ketika dia menyedari perlu bertindak dahulu sebelum ‘membimbing’ golongan muda dalam usaha mengetengahkan budaya pantai bebas sampah.
“Sebagai pesara tentera yang berdisiplin tinggi dan sangat menitikberatkan kebersihan, saya tidak boleh melihat sampah terutama botol yang dibuang. Bila berjalan ke pantai dan melihat botol terdampar, saya kutip dan bawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Penarik.
BAWA BOTOL KE RUMAH
Beliau mengakui, tindakan membawa balik botol dikutip di pantai ke rumah membuatkan kawasan kediamannya sarat dengan botol-botol buangan sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan keluarganya.
Selain mengutip sendiri, dia mengupah kanak-kanak dengan membayar mereka lima sen untuk botol kecil dan 10 sen untuk botol besar.
Dia berbuat demikian untuk mengelakkan botol-botol berkenaan dipecahkan oleh kanak-kanak dengan meletupkannya menggunakan mercun.

Awalnya ia menimbulkan salah faham isterinya, Jamaliah Kamaruddin yang menganggap dia mahu memulakan perniagaan budu.
“Pada peringkat awal, saya hanya ingin membuang botol berkenaan di tempat sampah, namun apabila melihat keunikkan setiap botol membuatkan saya jatuh hati dan mula menjadikannya koleksi.
“Kebanyakan botol dihan-yutkan arus laut ke pantai kita. Ia datang dari pelbagai negara dan mempunyai corak tersendiri serta jarang ditemukan di negara ini. Setiap hari bilangannya semakin bertambah sehingga membuatkan ruang penyimpanan penuh. Apabila semakin banyak saya memerlukan tempat baharu untuk menyimpan koleksi ini tanpa menyelerakkan kawasan rumah,” katanya.
Lantaran minat, dia membeli rumah kakaknya, terletak di sebelah kediamannya untuk dijadikan sebagai galeri, dinamakan Rumah Botol yang kini menyimpan lebih 20,000 botol.
DIANGGAP ORANG GILA
Penampilannya yang berjalan membawa guni berisi botol menyebabkan orang ramai menganggapnya orang gila sehingga ada yang menjauhkan diri darinya.
Namun, ia tidak mematahkan semangat Tengku Mohd. Ali meneruskan rutinnya setiap pagi mengutip botol di pantai di negeri ini dengan berlapang dada.
Walaupun menerima kata-kata negatif tetapi hasratnya untuk terus menabur bakti tidak pernah luntur dan cuba menarik minat generasi baharu membuat kerja-kerja amal.
“Untuk lokasi jauh, saya menggunakan kereta dan memarkirnya di pinggir jalan sebelum berjalan kaki menyelusuri pantai bersendirian,” katanya.
Berjalan sepanjang pesisir pantai dengan jarak jauh membuatkan dia kadangkala terpaksa menumpang kenderaan yang lalu-lalang untuk menghantarnya kembali ke tempat ia memulakan pencarian dan pulang ke rumah sebelum pukul 9 pagi.
USIA BUKAN PENGHALANG
Usia mencecah lapan dekad tetapi kudrat seperti ‘orang muda’ yang mana setiap hari masa yang dihabiskan untuk mencari botol dan menguruskan rumah botol.
“Alhamdulillah, walaupun usia Tokki telah lanjut namun masih diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan ini. Mungkin bagi orang lain ia perbuatan sia-sia tetapi bagi saya, selagi mampu kerja-kerja mengutip botol ini akan terus dilakukan.
“Setiap tahun apabila tiba tarikh kelahiran saya, anak lelaki saya yang berhijrah ke Sydney, Australia akan mengirimkan satu botol istimewa dengan bentuk dan corak yang berbeza sebagai hadiah kepada saya,” katanya.
Dengan dorongan ahli keluarga, kini Tengku Mohd. Ali ingin ‘berdakwah’ untuk orang ramai tanpa mengira usia agar menjaga kebersihan alam sekitar terutama apabila kini dikatakan bumi semakin tua untuk mencernakan semua sampah secara alami.
KITAR SEMULA
Selain menjadikan koleksi peribadi, botol dan barang-barang buangan dari pantai itu juga digunakan untuk dikitar semula untuk mencantikkan lanskap Rumah Botol.
Tengku Mohd. Ali berkata, inisiatif menggunakan botol itu muncul apabila terlampau banyak botol dimiliki dan bentuknya sama. Oleh demikian botol-botol itu dijadikan perhiasan pagar untuk masuk ke galerinya.
Di samping itu, dia juga membina mini air terjun di pekarangan galerinya untuk mempelbagaikan replika kecil yang dibuat menggunakan botol terbuang sebagai hiasan lanskap.
“Tanpa peruntukan daripada mana-mana pihak, saya berusaha membaik pulih dan menjaga galeri ini sedikit demi sedikit mengikut kemampuan sendiri. Kadangkala saya menerima sumbangan peribadi untuk digunakan ke atas Rumah Botol,” katanya.
TARIKAN ORANG RAMAI
Sejak Rumah Botol mulai tular beberapa tahun lepas, dia menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia termasuk Singapura, Thailand, China dan Paris.
Pengalamannya sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun selepas tamat perkhidmatan tentera membantu memudahkannya berkomunikasi dengan pelancong asing.
“Sejak lapan tahun lalu kedatangan pelancong saya rekodkan di dalam buku dan kini telah mempunyai lapan naskhah buku kedatangan yang ditangani pengunjung.
“Setiap buku mampu merekodkan sebanyak 1,350 nama pengunjung, tetapi saya percaya jumlah yang hadir lebih ramai dan buku ini juga saya jadikan bukti mereka yang hadir ke teratak istimewa ini,” katanya. – UTUSAN










